UMNO Tidak Bersikap ‘Abang Long’, Salam Permuafakatan Telah Dihulurkan – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 18 Nov – Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan tegas berkata UMNO tidak bersikap seperti ‘Abang Long’.

Ulasnya, UMNO sebenarnya telah menghulurkan salam permuafakatan kepada parti PAS khususnya di dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ini atas nama Muafakat Nasional (MN).

“Kenyataan media daripada saya bertarikh 28 Okt selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang dipengerusikan oleh Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi antara lain menyebut bahawa mesyuarat memutuskan untuk meneruskan persefahaman dengan parti PAS selaras dengan ketetapan Perhimpunan Agung UMNO 2020 iaitu memperkukuhkan Muafakat Nasional dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri Melaka.

“Asas persefahaman dengan PAS berpandukan kepada prinsip bahawa PAS menggunakan lambang partinya sendiri. Ini adalah selaras dengan semangat dan ketetapan Jawatankuasa Induk Muafakat Nasional dalam Mesyuarat pada 19 Okt 2020 dan 18 Nov 2020.

“Ini adalah untuk mengelakkan pertembungan sesama sendiri dan pada masa yang sama mengekalkan penggunaan lambang parti masing-masing dalam pilihan raya,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO Online, di sini hari ini.

Namun jelasnya lagi, jawatankuasa PAS pusat telah membuat keputusan pada 1 Nov 2021 untuk menggunakan lambang Perikatan Nasional bukan lambang mereka sendiri pada PRN Melaka.

“Sehubungan dengan itu, kerjasama yang telah diputuskan oleh Majlis Kerja Tertinggi UMNO adalah dalam bentuk MN,” kata Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian.

Semalam, seorang pemimpin parti PAS mendakwa sikap ‘Abang Long’ yang ditonjolkan oleh pemimpin tertinggi parti menyebabkan tiga parti iaitu PAS, UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) gagal membentuk kerjasama dalam PRN Melaka hingga menyebabkan pertembungan sama sendiri. – UMNO ONLINE