Tiada Lagi ‘Ini Kalilah’, ‘Cukuplah Sekali’ Kerana BN Saji ‘Kestabilan Demi Kemakmuran’ – Sulaiman

KUALA LUMPUR, 18 Nov – Calon Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali menegaskan tiada lagi cogan kata ‘Ini Kalilah’ kerana ‘Cukuplah Sekali’ rakyat merasai pentadbiran kerajaan selain daripada teraju Barisan Nasional (BN).

Beliau yang juga calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yakin bahawa rakyat telah melihat dan menilai hanya BN yang boleh menstabilkan negeri.

“Jika sebelum ini ‘tag line’ mereka ‘Ini Kalilah’ tapi bagi kita ‘Cukuplah Sekali’ kerana kembalilah memilih BN yang mempunyai ‘track record’, stabil, kuat dan boleh menjamin masa depan rakyat,” katanya.

Jelasnya, berdasarkan muka-muka baharu yang dikemukakan oleh BN dalam PRN terbabit juga adalah bukti jela s bahawa proses peremajaan yang seringkali disebut dalam parti diaplikasi.

“Muka-muka baharu yang ditampilkan ini telah meremajakan parti kerana keremajaan ini akan kita wariskan kepada baris kepimpinan generasi akan datang. Calon BN ini ada dari pelbagai latar belakang, pengalaman dan pendidikan yang diyakini mampu menjadi pemimpin yang baik.

“Kita yakin barisan ini boleh diterima rakyat kerana mereka akan berikan khidmat terbaik terhadap segala aduan rakyat dan dengan muka-muka baharu ini insya-Allah kestabilan akan dapat dicapai.

“Saya yakin rakyat melihat dan menilai hanya BN yang boleh menstabilkan negeri dan saya yakin muka-muka baru inilah yang akan menjana negeri Melaka ke arah lebih maju,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Bual Bicara sempena PRN Melaka yang turut disertai Pengarah Pilihan Raya Negeri Melaka merangkap Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, menerusi saluran Facebook dan Youtube UMNO Online, malam tadi.

Sulaiman turut memaklumkan bahawa sekiranya diberikan mandat maka keutamaan kepada isu rakyat akan diselesaikan terlebih dahulu.

“Melaka merupakan sebuah negari pelancongan maka produk-produk pelancongan mesti disebarluaskan iaitu bukan hanya untuk pelancongan hujung minggu tapi kita juga mahu Melaka jadinegeri ini seperti pusat-pusat pelancongan ternama antarabangsa di luar sana.

“Saya ada pelan nak membina negeri Melaka ini menjadi negeri yang gemilang. Kita mesti lakukan sesuatu yang baharu dengan produk yang besar. Kalau diberi mandat, insya-Allah kita akan jadikan Melaka ini sebagai sebuah pusat pelancongan dan pusat perniagaan.

“Untuk ini jika diberi mandat saya ingin selesaikan hal utama ialah isu rakyat iaitu masalah banjir dan masalah kesesakan lalu lintas.”

Maklumnya, hal-hal terbabit telah dimuatkan dalam manifesto BN dengan ada perancangan-perancangan untuk jangka masa panjang dan jangka masa pendek.

“Isu pengangkutan, sebab itu kita minta HSR dikembalikan ke pelan asal. Ini kerana kerana mahu terus ke Singapura sebab kedatangan pelancong kedua terbesar adalah dari Singapura.

“Mereka datang sebelum ini dengan kenderaan masing-masing tapi saya yakin jika adanya HSR limpahan ekonomi ini akan meningkat di Melaka. Mereka akan berikan impak ekonomi kepada rakyat yang pulangannya amat baik untuk jamin masa depan rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.