Puteri UMNO Seru Rakyat Berikan Mandat Kepada BN Untuk Tadbir Melaka, Kekal Patuhi SOP

KUALA LUMPUR, 18 Nov – Pergerakan Puteri UMNO menyeru kepada para pengundi dan rakyat Melaka amnya agar memberikan mandat sekali lagi kepada Barisan Nasional (BN) untuk mentadbir melalui Pilihan Raya Negeri (PRN) yang ebrlangsung Sabtu ini.

Ketuanya, Datuk Zahida Zarik Khan berkata, kekangan SOP PRN Melaka tidak menjejaskan Pergerakan Puteri UMNO Malaysia dalam membantu rakyat mengenali calon UMNO dan BN khasnya yang akan bertanding dengan satu iltizam agar BN memenangi PRN Melaka.

“Puteri UMNO mendekati rakyat tanpa membelakangkan SOP COVID-19 agar rakyat sedar pentingnya mereka keluar dan mengundi BN untuk kemakmuran demi masa depan generasi rakyat Melaka.

“Puteri UMNO memastikan rakyat Melaka dapat memilih kerajaan yang mampu memberikan keharmonian dan impak ekonomi untuk kestabilan demi kemakmuran kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan sempena PRN Melaka.

Ujarnya, UMNO telah berjasa kepada negara selama 60 tahun dengan pembangunan fizikal, pendidikan dan spritual telah terbukti.

“Kejayaan ini bukan satu persepsi mahupun propaganda politik. Kemakmuran negara hari ini adalah kerana pentadbiran BN di dalam kerajaan. Sebagai sebuah negara yang dikira masih awal kemerdekaannya, Malaysia menjadi sebuah negara yang berdaya saing diperingkat antarabangsa,” katanya.

Dalam masa yang sama, beliau turut mengigatkan para pengundi agar patuh kepada SOP COVID-19 sewaktu pilihan raya berlangsung serta menjaga diri dan kesihatan.

“Lakukanlah pilihan yang bijak demi masa depan generasi rakyat Melaka,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.