Undi BN, Calon Berkredibiliti, Prihatin… Tak Khianati Parti – Khairy


KOTA MELAKA, 17 Nov- Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memohon rakyat di negeri ini melakukan pilihan bijak dengan mengundi BN berdasarkan calon-calon yang berkredibiliti dan prihatin rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 20 Nov nanti.

Katanya, calon-calon BN akan taat setia kepada parti dan akan memberikan perkhidmatan yang terbaik.

“Saya harap pengundi dapat menyokong BN kerana calon akan taat setia kepada BN, mereka tidak akan khianati parti malah akan memberikan perkhidmatan terbaik.

“Mereka ini merupakan calon yang mempunyai pencapaian dan pengalaman untuk memberi khidmat terbaik kepada masyarakat,” ujarnya yang turut turun ke sini, malam tadi.

Sementara itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Rembau menyifatkan BN berjaya mengaplikasi cara kempen mengikut norma baharu pada PRN ini.

Katanya, meskipun pendekatan kempen berbeza berbanding pilihan raya sebelum ini namun ianya tetap berupaya untuk mendekati rakyat.

“Saya melihat walaupun prosedur operasi standard (SOP) kali ini ketat disebabkan kita masih lagi berdepan dengan pandemik tapi BN telah berjaya untuk membawa pendekatan kempen norma baharu melalui ceramah atas trak, media sosial dan juga perjumpaan dengan masyarakat yang tidak dijadualkan seperti solat, kedai makan dan sebagainya.

“Ini adalah cara baharu yang saya rasa selamat sebab mematuhi SOP dan mesej berupaya sampai ke sasaran cuma pengundi tidak kumpul di satu tempat yang menyebabkan risiko berlaku kluster… duduk di rumah atau kedai makan boleh dengar ceramah, nampak baik sahaja,” katanya lagi.

Menerusi PRN kali ini, penekanan diberikan terhadap pematuhan SOP selaras dengan Garis Panduan Pencegahan COVID-19 di bawah Pelan Pemulihan Negara memandangkan situasi pandemik yang masih belum terkawal sepenuhnya.

Penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka, penggunaan pensanitasi tangan, saringan suhu badan dan langkah merekodkan kehadiran dilaksanakan di kawasan-kawasan awam selain mereka yang hadir perlu mengimbas kod respons pantas (QR) MySejahtera.

PRN Melaka diadakan berikutan pembubaran DUN pada 4 Okt lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.- UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.