Undi Awal: Wanita UMNO Ajak Pengundi Buat Pilihan Tepat Pilih BN

AYER KEROH, 16 Nov – Sempena hari mengundi awal hari ini, Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Norshida Ibrahim terus mengajak mereka yang membuang undi agar membuat pilihan yang tepat demi kepentingan bersama.

Dalam satu kenyataanya kepada UMNO-Online, beliau seterusnya menambah masing-masing diharap membuat pilihan terbaik dengan mengundi calon Barisan Nasional (BN).

“Wanita UMNO menyeru kepada semua pemilih yang layak mengundi awal supaya menunaikan tangggungjawab anda dan pasangan membuat pilihan dengan penuh bijaksana.

“Hari ini, 16 November 2021 adalah sesi pengundian awal terdiri daripada anggota tentera, isteri atau suami anggota angkatan tentera, anggota polis, anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), isteri atau suami anggota PGA.

“Sebanyak 31 pusat mengundi awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka telah dibuka mulai jam 8 pagi hari ini bagi membolehkan 11,557 pengundi awal terdiri anggota tentera dan pasangan serta polis menunaikan tanggungjawab mereka,” katanya.

Katanya lagi, membuang undi pada hari ini dengan pilihan yang tepat tentunya akan memberi kesan kepada negara dan kita semua.

“Berilah mandat kepada BN yang pastinya hanya mampu memenuhi harapan dan menjaga kebajikan kita bersama. Berilah mandat kepada BN yang akan senantiasa mendampingi dan menghargai pengorbanan anda semua.

“Pengorbanan anda semua untuk keselamatan rakyat dan negara sememangnya perlu dihormati dan disanjungi. Kita tidak mahu lagi berlaku seperti sebelum ini anggota keselamatan negara diperalatkan untuk mempertahankan keangkuhan sang penguasa yang rakus. Pilihlah kami untuk menjaga kebajikan anda dan seluruh anggota keselamatan negara,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.