Melaka Langkah Pertama BN Kembalikan Kestabilan Demi Kemakmuran Negara – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 16 Nov – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menekankan bahawa Melaka adalah langkah pertama Barisan Nasional (BN) bagi mengembalikan kestabilan demi kemakmuran.

Beliau yang juga Pengerusi BN dilmaklumkan seluruh jentera BN di Melaka ketika ini sedang giat berkempen tidak kira malam atau siang, hujan mahupun panas.

“Walau ada percubaan melemahkan semangat jentera-jentera BN, ternyata itu tidak sedikit pun melunturkan keyakinan mereka terhadap perjuangan ini.

“Saya sangat terharu mendengar perkhabaran tersebut. Mereka terus bergerak tanpa henti. Itulah sebuah jasa dan bakti yang amat besar ertinya.

“Bukan sahaja kepada Melaka, malah seluruh rakyat Malaysia yang tidak sabar untuk menyaksikan langkah pertama BN mengembalikan kestabilan demi kemakmuran bermula di Melaka Insya-Allah.,” katanya menerusi kenyataan dalam laman facebooknya.

Ahmad Zahid yang masih menjalani rawatan di luar negara memaklumkan bahawa beliau sentiasa mendoakan kesejahteraan seluruh jentera BN yang bertungkus-lumus memenangkan calon BN calon rakyat tanpa mengenal erti penat lelah.

“Semoga sentiasa dalam perlindungan Yang Maha Agung tidak kira di mana mereka berada di Melaka, demi sebuah perjuangan yang murni dan penuh bermakna.

“Ketahuilah bahawa seluruh jentera BN yang terlibat pada PRN Melaka kali ini akan tercatat dalam sejarah sebagai pemangkin kepada kebangkitan semula BN.”

Ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, kebangkitan BN untuk kembali sebagai parti teras mentadbir negara dan negeri-negeri seperti kegemilangan masa lalu yang sangat dirindui rakyat Malaysia.

“Yakinilah bahawa perjuangan itu sebuah perjuangan jangka masa pendek dan jangka masa panjang yang tulen bagi menegakkan kebenaran demi masa depan rakyat dan negara.

“Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim, berkatilah rahmatilah redhailah perjuangan seluruh jentera BN di Melaka. Perkukuhkanlah keteguhan hati-hati mereka. Berilah mereka kekuatan.

“Jauhilah jentera BN kami daripada segala marabahaya dan penyakit. Lindungilah keselamatan mereka dan peliharalah kesihatan mereka. Permudahkanlah urusan mereka untuk menjulang kebangkitan BN dalam PRN Melaka demi kemaslahatan dan masa depan Malaysia tanahair kami,” katanya lagi.

PRN Melaka diadakan berikutan pembubaran DUN pada 4 Okt lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

SPR menetapkan hari pengundian pada 20 Nov ini sementara proses pengundian awal bermula 8 pagi ini yang menyaksikan 11,557 anggota polis, tentera dan pasangan mereka menunaikan tanggungjawab masing-masing. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.