Komitmen Tinggi, Semangat Jitu Jentera Pastikan Kemenangan BN – Bung

MELAKA, 16 Nov – Semangat permuafakatan yang kukuh dan komitmen yang tidak berbelah-bahagi daripada pelbagai peringkat jentera parti akan menghasilkan satu keputusan yang cukup bermakna kepada Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata kemenangan BN pada PRN kali ini akan memberi impak yang positif kepada rakyat di negeri itu.
Sehubungan dengan itu Bung yang juga Ketua UMNO Sabah mengharapkan agar jentera parti terus istiqamah dan meneruskan semangat yang tinggi itu sehingga ke tarikh pengundian nanti walaupun berhadapan dengan cabaran pematuhan Prosedur Operasi Standrad (SOP) ketika menjalankan kempen pada PRN Melaka kali ini.

“Saya melihat sokongan rakyat khususnya ahli-ahli UMNO di negeri ini kepada calon-calon BN begitu tinggi untuk memenangkan calon-calon mereka yang sudah tentu semangat biru sudah membanjiri seluruh Melaka untuk memenangi PRN kali ini,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan mesyuarat UMNO cawangan kampung Sembok dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyung di sini baru-baru ini.

Hadir sama Calon BN DUN Duyung Mohd Noor Helmy Abdul Halem.

Menurut Bung lagi, dengan kesepakatan daripada seluruh rakan-rakan parti komponen BN Melaka sudah pastilah parti cukup bersedia untuk berdepan dengan PRN Melaka.

“Kita kembali ke cawangan-cawangan dan kawasan masing-masing dengan semangat biru dan berikrar memperkukuhkan jentera di Dewan Undangan Negeri dan Pusat Daerah Mengundi (PDM) masing-masing,” katanya.

Kata Bung yang juga Pengerusi BN Sabah, semua pemimpin dari seluruh negara termasuk jentera UMNO dari Sabah akan membantu calon BN dan apa yang penting masing-masing perlu bekerjasama untuk memastikan kemenangan parti.

“Jentera yang telah tersusun diharapkan terus berjalan sehingga 20 November ini dan kempen-kempen yang sesuai dengan SOP yang ditetapkan perlu diteruskan sehingga ke tarikh pengundian,” katanya.

Terdahulu Bung juga turut menghadiri mesyuarat UMNO Cawangan Telok Mas yang disempurnakan oleh Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan yang turut dihadiri oleh Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka yang juga calon BN bagi DUN Telok Mas Datuk Abdul Razak Abdul Rahman. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.