Calon Wanita BN Mampu ‘Gegau’ Melaka – Rosnah

AYER KEROH, 15 Nov – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin yakin calon wanita yang diketengahkan oleh Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka mampu menarik pengundi dan menggegarkan di tempat masing-masing.

Menurut beliau, walaupun berbagai bangsa, umur dan latar belakang calon Wanita BN mampu memikat hati pengundi di kawasan mereka.

“Saya kira dengan penampilan lima orang calon BN yang diketengahkan daripada pelbagai peringkat umur dan juga latar belakang mampu menggamit pengundi-pengundi untuk mengundi mereka bukan saja dari segi penampilan tetapi dari segi parti yang dibawa iaitu BN akan mampu menarik perhatian pengundi-pengundi.

“Pada saya khidmat bakti yang telah mereka curahkan kepada kawasan masing-masing merupakan satu tanda aras sokongan masyarakat terutama sekali pengundi-pengundi di kawasan mereka dan sudah tentu dengan kekangan-kekangan yang ada,” katanya kepada UMNO Online baru-baru ini, di sini.

Seterusnya tambah Exco Wanita UMNO Malaysia itu lagi, beliau melihat semangat yang ditunjukkan oleh calon-calon BN begitu tinggi dalam kekangan berhadapan dengan pengundi.

“Tetapi calon wanita mempunyai pendekatan-pendekatan luar biasa yang telah lakukan dari segi khidmat sosial, media sosial dan itulah diterjemahkan sepanjang tempoh berkempen,” katanya.

Mengulas mengenai prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dalam norma baharu yang ditetapkan kerajaan bagi mengelak penularan jangkitan COVID-19, beliau percaya calon-calon mampu menanganinya.

“Saya yakin dan percaya pada masa beberapa hari lagi akan ada pendekatan-pendekatan baru dan makluman berhadapan dengan SOP yang ketat dan penularan COVID-19.

“Ini adalah satu norma baharu bahawa calon Wanita perlu membiasakan diri pada kempen PRN Melaka,” katanya lagi.- UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.