UMNO/BN Parti Berpengalaman, SOP PRN Bukan Halangan – Bung

KOTA MELAKA, 14 Nov – Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yakin dan percaya dengan keupayaan jentera parti untuk memenangkan calon-calon Barisan Nasional (BN) di dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Katanya, ini kerana berbekalkan pengalaman yang dimiliki parti beliau optimis UMNO/BN mampu menghadapi situasi ini dengan sebaiknya sekaligus mengekalkan tampuk pentadbiran di negeri ini.

“Senario yang baharu ini di mana kempen pilihan raya tidak dibenarkan seperti ceramah, ‘walkabout’, pergi rumah ke rumah ini menjadi kesukaran besar bagi semua parti dan calon untuk akses dengan pengundi.

“Namun UMNO ini merupakan sebuah organisasi yang terlatih dalam pelbagai pilihan raya yang kita lalui. Jadi kita yakin dengan kematangan dan pengalaman pemimpin dan jentera akan memberi kelebihan kepada UMNO/ BN untuk memenangi hati rakyat dalam proses PRN Melaka.

“Saya sudah berada di sini sejak penamaan calon melihat ini dan yakin jentera BN kerana bergerak siang dan malam untuk memastikan calon-calon kita diterima rakyat,” jelas beliau.

Beliau berkata demikian ketika menyertai sarapan pagi yang dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO di Telok Mas, di sini pagi tadi.

Bung yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah turut meluahkan kesyukuran melihat komitmen BN membantu rakyat di negeri ini menerusi pengumuman manifesto pada Rabu lalu.

“BN memang komited dengan perkara ini iaitu menjanjikan perkara yang kita boleh kotakan kerana kita tidak seperti parti yang lain membuat janji kemudian tidak ditepati sebab itu kita fokus kestabilan politik untuk kemakmuran rakyat.

“Saya cukup yakin BN akan menunaikan janji untuk memastikan Melaka dan rakyatnya hidup aman dan damai,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.