Pilih Kecekapan, Pilih BN Untuk Tadbir Melaka Dengan Telus, Cekap, Stabil – Shahril Hamdan

MELAKA, 13 Nov – Barisan Nasional (BN) Melaka melancarkan manifesto bagi lima tahun akan datang dengan tema ‘Kestabilan Demi Kemakmuran’ yang di dalamnya ada lima teras dan 103 inisiatif jika menang Pilihan Raya Negeri (PRN) dengan Teras Ketiga adalah kecekapan tadbir urus.

Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Shahril Hamdan menekankan bahawa segala perkara tersebut BN mampu menjadikan kenyataan dengan sokongan daripada para pengundi.

“BN berjanji untuk terus mentadbir kerajaan dengan telus, cekap, dan bersih. Antara inisiatif untuk mentadbir urus Melaka dengan lebih baik adalah peluasan Digital Melaka untuk memudahkan segala bentuk urusan kerajaan secara atas talian.

“Untuk memperkasa dan membangunkan perniagaan, satu pindaan undang-undang di bawah kerajaan negeri untuk memudahkan urusan lesen perniagaan akan dilaksanakan oleh kerajaan.

“Untuk orang muda, kerajaan negeri akan memperkenalkan Dewan Undangan Negeri Belia bagi negeri Melaka untuk melibatkan belia dalam menyalurkan idea kepada kepimpinan kerajaan negeri,” katanya.

Ujarnya yang juga Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, selaras dengan Undi18 untuk melibatkan lebih ramai orang muda dalam penggubalan dasar bagi negeri Melaka.

“Bersama Barisan Nasional untuk kita terus memimpin kerajaan negeri Melaka dengan telus, cekap, dan yang paling utama sekali, stabil. Pilih kecekapan, pilih Barisan Nasional,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.