Jangan Salah Pilih Antara BN, PH, PN… Najib Harap Lihat ‘Track Record’ Mentadbir

MELAKA, 13 Nov – Rakyat Melaka khususnya para pengundi diharap akan berfikir secara mendalam bahawa yang penting sekali adalah keluar dan mengundi pihak yang benar-benar boleh memberi negeri keamanan terutamanya dari sudut ekonomi agar manfaatnya kembali kepada rakyat.

Demikian kata Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak menerusi Program Bual Bicara ‘Gegau Melaka: Antara Mitos & Realiti yang Semasa’ yang disiarkan melalui saluran di Facebook dan Youtube UMNO Online, malam tadi.

Katanya, rakyat telah menyaksikan dan melalui pentadbiran dalam BN, Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

“Kalau lihat ‘track record’ sebenarnya susah nak salahkan BN… bukan nak kata BN sempurna tapi kalau nak balik ke zaman PH, zaman PN, ramai yang kata rindu zaman BN.

“Kerana itu boleh dikatakan Melaka ini sebagai pembuka tirai atau jambatan kepada pilihan raya umum (PRU) akan datang maka biarlah kita jadikan ia sebagai medan untuk BN kembali mentadbir negara, yang semuanya bermula di Melaka.”

Najib mengaitkan pentadbiran BN dengan keadaan ekonomi yang stabil dan kerajaan dapat mengembalikan manfaat kepada rakyat.

“Kalau dulu rakyat curiga sebab PH momok atau menakutkan rakyat tentang GST (cukai barangan dan perkhidmatan) tapi sekarang rakyat sedar bahawa zaman SST (cukai jualan dan perkhidmatan) lagi teruk inflasi berbanding GST… GST banyak faedahnya kepada semua, penjawat awam dapat, nelayan kecil, petani dan macam-macam peringkat.

“Bila kita nak kerajaan yang ada kekuatan maka kena faham bahawa kerajaan itu ada hasil untuk pendapatan yang boleh dikembalikan kepada rakyat. Kita lihat Indonesia dah umumkan tahun hadapan GST mereka naik 11 peratus dan selepas itu dua tahun lagi naik 12 peratus, Arab Saudi daripada lima peratus melonjak kepada 14 peratus sebab mereka tahu apabila ada hasil maka akan dapat dipulangkan kembali kepada rakyat.

“Yang untung bukan yang kaya kerana yang kaya perlu bayar lebih. Ini kerana GST dikaitkan dengan pembelian kita, beli lebih maka dikenakan GST lebih.”

Dalam hal ini beliau menegaskan bahawa lambang BN sinonim dengan dasar-dasar yang sederhana dan tidak rasis.

“Kita dapat menerima dan ambil kira kepentingan semua kaum atas permuafakatan semua. Walaupun UMNO parti induk tapi kita terima semua kaum. Ini adalah sifir politik yang terbaik untuk negara kita kerana kita tak akan mengenepikan mana-mana kaum biarpun minoriti kerana kita nak bina negara.

“Dari dulu lagi inilah pegangan kita maka insya-Allah apabila BN menang kita akan tetap prinsip ini untuk bina negara.”

Sehubungan itu, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan menganggap seseorang pemimpin itu akan menyerlah kerana ada parti yang kuat di belakangnya.

“Seorang pemimpin itu jadi kuat kerana ada parti di belakangnya. Sebab itu kalau dilihat pemimpin itu yang didukung oleh partinya … tidak ada parti yang besar sebagaimana UMNO/BN maka mereka tak terserlah pun.

“Waktu itu barulah mereka sedar sedangkan waktu melompat mereka tak sedar… dah lalu pilihan raya baru sedar bahawa kekuatannya adalah kerana ada parti di belakangnya yang mendukungnya.”

Berkaitan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang terpaksa dipatuhi dalam tempoh berkempen sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, katanya BN telah melakukan penyesuaian.

“Kita ada jentera yang besar dan jentera terbesar parti adalah dalam BN dengan kekuatan kita melalui kempen bersemuka namun dengan SOP baharu, BN melakukan penyesuaian.

“Dalam keadaan ini penampilan kita dalam media sosial juga akan membolehkan mesej, agenda atau apa-apa yang nak disampaikan kepada rakyat akan dapat dinilai,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.