Sokongan Rakyat Kepada BN Di Dun Duyong Semakin Meningkat – Bung

MELAKA, 12 Nov – Sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) kini semakin meningkat kerana ramai yang menerima baik pendekatan gagasan ‘Keluarga Malaysia’ yang dicetuskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata gagasan ini bersifat lebih inklusif dalam memperjuangkan masa depan rakyat tanpa mengira agama, kaum dan sempadan.

“Hakikatnya semasa BN menjadi kerajaan konsep ini telah dilaksanakan dengan jaya yang membawa kepada kestabilan politik, ekonomi dan kemajuan negara,” katanya selepas melakukan tinjauan bagi membantu calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong Mohd Noor Helmy Abdul Halem di sini.


Menurut Bung yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, perubahan sokongan rakyat khususnya di kawasan tersebut semakin meningkat di mana sebelum ini ramai terpengaruh dengan hasutan parti pembangkang menimbulkan pelbagai isu sehingga menimbulkan kebencian terhadap kerajaan BN.

“Rakyat sudah tentu dapat menilai Pakatan Harapan (PH) yang mentadbir negara bukan sahaja keadaan politik negara tidak stabil dan ekonomi negara tidak terurus sehinggs menjejaskan kehidupan jauh lebih baik apa yang dilakukan semasa BN memerintah negara,” jelas Bung.

Mengulas lanjut tahap sokongan rakyat kepada calon BN Duyong Mohd Noor Helmy, Bung yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, maklum balas rakyat semasa beliau bersama rombongan UMNO Sabah ke kawasan tersebut amat positif.

Katanya Mohd Noor Helmy bukanlah asing bagi masyarakat di kawasan itu selain mesra rakyat beliau telah lama berkhidmat kepada penduduk setempat atas kapasitinya sebagai Ahli Majlis Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) bagi kawasan Duyong.

“Banyak isu telah ditangani oleh beliau sebagai ahli majlis sebelum ini antaranya masalah banjir, pengaliran longkang, kerosakan jalan raya dan isu-isu setempat yang diselasaikan cepat dan ini merupakan eleman penting bagi bakal seorang wakil rakyat,” katanya.

Tambah Bung, sebagai Ketua Pemuda UMNO di kawasan tersebut sudah tentu Mohd Noor Helmy mempunyai pengalaman untuk memikul tugas serta tanggungjawab jika diberikan peluang sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.

“Kita yakin dengan hasil kerja keras semua komponen parti BN khasnya UMNO yang semakin agresif menjelang tempoh kempen selama dua minggu ini kita akan dapat menarik semula sokongan pengundi kepada BN dalam PRN Melaka kali ini,” tambah Bung. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.