Kestabilan Demi Kemakmuran, Kerajaan BN Telah Buktikan – Rosnah

HANG TUAH JAYA, 12 Nov – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin menyifatkan manifesto Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang bertemakan Kestabilan Demi Kemakmuran merupakan kesinambungan kepada kestabilan untuk kemakmuran negeri Melaka.

Tambahnya, apa yang telah digariskan merupakan agenda penting yang perlu diperjuangkan dan diteruskan oleh kerajaan yang sedia ada.

“Beberapa perkara penting yang telah diumumkan oleh Pengarah Pilihan Raya Negeri BN Melaka, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan yang menunjukkan bahawa pentingnya kestabilan politik, ekonomi, integriti dalam kerajaan serta soal dasar yang ditekan oleh kerajaan BN dan ini telah terbukti melalui pentadbiran kerajaan BN sebelum ini.

“Bukan sahaja di peringkat Pusat tetapi juga kerajaan negeri. Dalam tempoh singkat pentadbiran kerajaan negeri Melaka di bawah kepimpinan BN menunjukkan bahawa agenda ini perlu diperjuangkan dan diteruskan oleh kepimpinan sedia ada di bawah teraju pentadbiran Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebagai Ketua Menteri Melaka,” katanya kepada UMNO Online, di sini hari ini.

Beliau yang juga Exco Wanita UMNO menjelaskan bahawa manifesto tersebut sangat penting bagi BN untuk memastikan hala tuju parti.

“Manifesto ini adalah penting untuk memastikan bahawa BN adalah parti yang sentiasa membela rakyat Melaka dan mempunyai satu hala tujuan.

“Kita jangan lupa dulu mereka kata manifesto hanya sebagai kitab, jadi jangan percaya manifesto atau janji terutamanya Pakatan Harapan (PH) dan juga jangan lupa Perikatan Nasional (PN) yang di dalamnya ada PPBM.

“Saya yakin dan percaya pengundi Melaka tahu siapa yang akan dipilih pada 20 November ini walaupun dalam situasi SOP (prosedur operasi standard) yang ketat tetapi maklumbalas yang diterima terutama sekali media sosial amat menggalakkan, insya-Allah,” katanya.

Terdahulu, Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi BN melancarkan manifesto yang bertemakan Kestabilan Demi Kemakmuran, dengan menggariskan lima teras dan 103 inisiatif.

Pelancaran yang dilaksanakan secara hibrid itu sebagai mematuhi SOP yang digariskan Majlis Keselamatan Negara (MKN), turut dihadiri calon Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang juga calon BN kawasan Lendu.

Mohamad berkata manifesto itu adalah aku janji kepada rakyat Melaka dengan berpandukan kepada lima teras utama iaitu kestabilan politik; lonjakan ekonomi baharu; kecekapan tadbir urus; masyarakat bersatu padu serta pembangunan mampan dan perkongsian kemakmuran. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan