PRN: Calon Wanita BN Mampu Pacu Pembangunan Untuk Negeri Melaka

KUALA LUMPUR, 11 Nov – Wanita merupakan aset negara dan lebih separuh dari populasi negara terdiri daripada golongan itu dan wajib diberi ruang sepenuhnya kepada mereka untuk bersuara dalam memperkasakan golongan wanita.

Menyentuh hal demikian, Ketua Penerangan UMNO Shahril Hamdan berpandangan Barisan Nasional (BN) komited mengenainya dan atas sebab itu, parti mencalonkan lima wanita sebagai calon di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

“UMNO sahaja mencalonkan empat orang wanita. Lebih banyak dari parti-parti lain. Dan yang dicalonkan semua memiliki pengalaman yang mampu memacu pembangunan untuk negeri Melaka.

“Wanita adalah tulang belakang negara. Mereka juga merupakan tulang belakang kami dalam UMNO. Ruang perlu diberi sepenuhnya kepada mereka,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Tambahnya lagi, antara calon wanita daripada UMNO ialah Tuminah Kadi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor.

“(Tuminah) Ketua Penerangan Wanita UMNO Tangga Batu, Pegawai Perhubungan Awam di Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah. Berkhidmat kepada rakyat Tangga Batu sejak sekian lama dan diletakkan di DUN Pantai Kundor lawan seorang lagi pengkhianat yang menyebabkan PRN ini.

“Calon kami di (DUN) Pengkalan Batu, Datuk Hajjah Kalsom Nordin. Ketua Wanita UMNO Hang Tuah Jaya. Calon yang paling berpengalaman. Sudah berkhidmat di kawasan Hang Tuah Jaya semenjak tahun 1980an, dan sedia berkhidmat sebagai ADUN untuk semua penduduk Pengkalan Batu,” katanya.

Manakala tambahnya lagi, di DUN Rim ialah Datuk Khaidhirah Abu Zahar yang telah diperkenalkan sebelum ini dan yang terakhir, Puan Siti Faezah Datuk Abdul Azis, calon yang terkenal di dalam kawasan Jasin bagi DUN Sungai Rambai.

Justeru ulasnya, di atas komitmen BN di dalam memperkasa golongan wanita, parti telah mencalonkan wanita yang mampu memperhebatkan lagi bukan sahaja suara wanita di dalam Dewan Undangan Negeri, tetapi suara semua rakyat yang mereka wakili. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.