BN Pilihan Terbaik Demi Kestabilan Dan Kemakmuran– Jailani

ALOR GAJAH, 11 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata Barisan Nasional (BN) adalah pilihan terbaik bagi rakyat Melaka.

Jelasnya, kestabilan negara yang dibawa semasa pentadbiran BN bukan sahaja telah melonjakkan ekonomi, malah kesepakatan dan kebersamaan semua kaum tanpa mengira agama dan bangsa dapat dijelmakan sebelum ini.

“Saya yakin, BN pilihan yang terbaik kerana ada satu hala, satu matlamat dan satu tujuan. Kali ini tujuan kita adalah kestabilan terutama sekali dalam menarik pelaburan asing, ekonomi dapat dijanakan dan peluang cari makan untuk rakyat dapat diperhebatkan lagi, selepas kita mengalami kemerosotan ekonomi dan ramai hilang pekerjaan selepas tsunami COVID-19 melanda negara pada tahun lepas.

“Kestabilan Demi Kemakmuran satu tema yang sangat tepat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan suasana sekarang ini. Kalau nak kata dari segi peluang ekonomi, nak cari makan… BN jauh lebih baik dari kerajaan PH (Pakatan Harapan) dan kerajaan kerjasama dalam PN (Perikatan Nasional), yang dilalui dalam masa tiga hingga empat tahun ini,” katanya kepada UMNO Online, di sini hari ini.

Tambah Jailani, kalau dilihat perbezaan pentadbiran PH dan PN ianya jauh beza dengan pentadbiran BN, yang mana ketika PH terutamanya memerintah, ramai menjadi mangsa hilang pekerjaan serta banyak syarikat berkaitan kerajaan dijual dan diperdagangkan.

“Saya rasa rakyat bukan bodoh, rakyat sangat matang dalam hal ini. Rakyat sedia maklum bahawa mereka dapat buat perbandingan era siapa, dekat mana dan pemerintahan siapa yang lebih selesa, kita dapat cari makan, dapat mendirikan keluarga serta berurusan dengan tenang.

“Kita akui bahawa kerajaan BN bukanlah yang terbaik, namun pentadbiran PH jauh lebih banyak kepincangan, hari-hari bercerita siapa nak jadi Perdana Menteri bukan hari-hari nak cerita tentang menyelesaikan permasalahan rakyat.

“22 bulan cerita pagi petang siang malam siapa calon Perdana Menteri, datang pula kerajaan PN, entahlah… tak tentu arah. Perdana Menteri cakap lain, kementerian cakap lain, dasar-dasar yang bertindih dan tidak sehaluan,” tambahnya yang juga Ketua Penerangan UMNO bahagian Alor Gajah.

Sehubungan dengan itu, beliau berharap agar rakyat Melaka buat pilihan yang terbaik, semestinya BN yang masih merupakan bentuk kerajaan terbaik bagi negara di sebalik kekurangan dan ujian yang dihadapinya.

“Apa yang lebih penting, BN telahpun merangka pelan hala tuju yang jelas bagi masa depan negara, dan semua ujian dalam politik semasa boleh diselesaikan jika rakyat memberi sokongan padu kepada kepimpinan BN tidak kira di peringkat kerajaan negeri Melaka begitu juga kerajaan di Persekutuan,” jelasnya. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.