Promosikan 3 Perkara, Calon BN, Rekod Baik BN Tadbir Negeri Dan Kejayaan BN Pada Negara – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 10 Nov – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menggesa jentera parti dan Barisan Nasional (BN) untuk melakukan tiga perkara dalam kempen sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Katanya, tiga perkara yang perlu dilakukan ialah promosikan calon-calon BN, promosikan rekod baik ketika BN mentadbir Melaka dan mempromosikan kejayaan-kejayaan BN ketika menjadi kerajaan Persekutuan Malaysia.

“Jadi dengan tiga perkara itu ia akan mengingatkan kembali rakyat dan pengundi bahawa hanya BN satu-satunya parti yang lebih layak dari parti-parti lain untuk menjadi pemerintah dalam negara, di Melaka dan juga negeri-negeri lain,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata demikian selepas menyampaikan ucapan dalam program Siber Rangers Wanita UMNO Malaysia (CreW) yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Dalam ucapannya, beliau merakamkan tahniah kepada Wanita UMNO yang berjaya mewujudkan CReW dalam menghadapi suasana politik hari ini.

“Saya mengucapkan tahniah kepada Penerangan Wanita UMNO dan merasakan kaedah ini amat sesuai diaplikasi sebagaimana PRN Melaka sekarang ini yang perlu mematuhi SOP dan banyak kekangan.

“Maka kerana itu, kaedah yang sesuai ialah melalui media sosial dan kita mengharapkan semua jentera parti menggunakan media sosial sama ada media sosial yang terbuka ataupun yang tertutup. Yang tertutup contohnya WhatAps dan telegram dan yang terbuka contohnya Facebook, Twitter, Instagram, Tik Tok.

“Gunakanlah dengan sebaiknya dan jangan kita tersilap dalam penggunaan media sosial,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.