Pentadbiran PH 22 Bulan Perlu Diambil Teladan, Hanya Janji Sekadar Bulan Bintang – Shahril

MELAKA, 10 Nov – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Shahril Hamdan berharap rakyat di negeri ini memikirkan secara rasional bahawa peralihan kerajaan kepada parti lain hanya sekadar menjanjikan bulan dan bintang kononnya ke arah perubahan yang lebih baik.

Katanya, pengalaman selama 22 bulan ditadbir urus oleh Pakatan Harapan (PH) sebelum ini adalah situasi sebenar untuk rakyat mengambil ianya sebagai sempadan.

“Kita boleh melihat walaupun tempoh mereka singkat tapi saya fikir rakyat boleh mempertimbangkan bahawa perubahan menukar kerajaan daripada BN kepada parti lain ini bukan automatik atau menjanjikan bulan dan bintang.

“Saya fikir Melaka seperti mana negeri-negeri lain terutamanya 22 bulan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) di mana kita lihat tidak ada satu keseronokan yang berlaku dalam tempoh tersebut yang memberikan satu gambaran apabila PH memerintah negeri ini maka macam-macam perkara baharu yang datang.

“Sebaliknya saya fikir hanya lebih kepada menyambung sebarang perancangan atau legasi yang telah wujud oleh kerajaan negeri pada sebelum itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program bual bicara ‘Gegau Melaka: PRN Melaka – Pilih Kestabilan’ yang disiarkan secara langsung di Facebook UMNO Online.

Jelas beliau yang juga Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Melaka yang suatu ketika dahulu di bawah BN mempunyai banyak pengalaman ternyata tidak boleh dibandingkan dengan parti lain yang tidak pernah memimpin sebelum ini.

“Malah rakyat boleh melihat apabila PH memimpin apa sebenarnya yang berlaku ekonomi, pentadbiran negara dan macam-macam lagi perkara yang berlaku dalam tempoh tersebut.

“Yang mana kita telah tekankan bukan hanya individu kerana saya tahu siapa Ketua Menteri Melaka pada waktu itu sebelum PRU-14. Lebih kepada pentadbiran itu telah disusun oleh exco dan seluruh pentadbiran kerajaan.

“Kita melihat situasi yang berlaku di Melaka pada 22 bulan itu lebih mencerminkan ianya dilakukan berdasarkan perancangan sedia ada dan yang sedihnya menyaksikan beberapa perubahan negatif yang kita nampak di peringkat Pusat,” ujar beliau lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.