Manifesto Bawa Kestabilan, Bangunkan Negeri Tersusun Dan Teratur – Mohamad Hasan

MELAKA, 10 Nov – Manifesto Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negara (PRN) Melaka dilancarkan bertujuan membawa kestabilan kepada negeri sekaligus kemakmuran kepada rakyat.

Menurut Pengarah Pilihan Raya BN, Datuk Seri Mohamad Hasan ianya juga merupakan suatu aku janji pada rakyat bahawa tidak ada kemakmuran sekiranya kestabilan dalam politik tidak dicapai sekaligus akan mengganggu pembangunan negeri.

“Kestabilan kunci utama kepada apa sahaja yang kita lakukan kerana kestabilan politik akan menjanjikan kerajaan yang ditubuhkan itu sebagai kerajaan yang boleh memberikan fokus dengan tujuan untuk mensejahterakan dan memakmurkan rakyat dengan cara membangunkan negeri secara tersusun dan teratur.

“Jadi itu sebabnya manifesto kita tajuknya ‘Kestabilan Demi Kemakmuran’, mesti ada kestabilan politik, perpaduan dan rakyat yang perlu kita wujudkan.

“Dengan itu kerajaan negeri Melaka yang baharu nanti dapat mengurus negeri dengan baik untuk membangunkan negeri dan hasil daripada pembangunan yang dirancang begitu baik akan mendatangkan kesejahteraan rakyat. Itu sebabnya kita buat tema ini,” katanya ketika sidang media yang dilakukan selepas pelancaran manifesto yang turut dihadiri Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang juga calon BN kawasan Lendu.

Terdahulu pada pelancaran tersebut Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi BN menekankan lima teras utama iaitu kestabilan politik, lonjakan ekonomi baharu, kecekapan tadbir urus, masyarakat bersatu padu dan pembangunan mapan dan perkongsian kemakmuran.

Sementara itu beliau memaklumkan BN konsisten untuk memenangi pada PRN kali ini bagi membolehkan penubuhan kerajaaan negeri baharu yang kukuh di Dewan Undangan Negeri Melaka kelak.

“Kita bekerja kuat kerana tidak ada perkara yang senang kerana ini pertandingan jadi mesti serius.

“Gerak kerja yang tersusun teratur dengan strategi yang baik dan komitmen yang tinggi insya-Allah kita yakin dengan doa dan kerja kuat kita mampu tubuhkan kerajaan negeri Melaka BN yang baharu selepas 20 Nov ini.

“Saya harap semua pengundi di Melaka pilihkan parti yang terbukti kerana kita telah ada track record yang lama dan bagi kepada parti teras iaitu BN untuk tadbir Melaka,” ujar beliau lagi. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

[gview file=”https://umno-online.my/wp-content/uploads/2021/11/MANIFESTO-BARISAN-NASIONAL-MELAKA_READABLE.pdf”]

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.