Calon Muda, Muka Baharu Gambarkan Rejuvenasi Parti Pada PRN Melaka – Dr Asyraf

TANGGA BATU, 9 Nov – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata calon muda serta muka baharu yang diketengahkan oleh pucuk pimpinan parti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menggambarkan kesediaan UMNO merealisasikan agenda rejuvenasi parti.

Jelasnya manifestasi ke arah itu sememangnya satu perkara yang tidak boleh dinafikan sekaligus menunjukkan kepada rakyat bahawa UMNO hari ini bersedia untuk melakukan perubahan.


“Kita dapat lihat dengan jelas malah menggambarkan satu manifestasi kesediaan UMNO untuk melakukan serta merealisasikan agenda rejuvenasi parti yang dicanang-canangkan sejak daripada awal kita ditakdirkan hilang kuasa.

“Pada waktu itu kita melakukan anjakan paradigma dan menggerakkan agenda perubahan dan di peringkat Pemuda sendiri pada waktu itulah, kita melakukan proses muhasabah dan kita sentiasa membawa kepada pucuk pimpinan bahawa UMNO mahu tidak mahu mesti diperlihatkan kepada rakyat bahawa parti ini bersedia untuk melakukan perubahan.

“Alhamdulillah kita dapat lihat pada PRN Melaka ini ianya diterjemahkan dalam konteks komposisi calon-calon yang diketengahkan yang mana hampir 87 peratus adalah wajah-wajah baharu dan hanya empat sahaja penyandang yang dkekalkan,” katanya kepada UMNO ketika ditemui baru-baru ini.

Dan lebih menarik lagi tambah Dr Asyraf yang juga Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN), ini adalah kali pertama di peringkat pergerakan itu dalam sejarah Pemuda BN diwakili oleh enam orang termasuk empat orang daripada Ketua-Ketua Pemuda UMNO bahagian di negeri Melaka ini.

Mereka ini jelas beliau lagi bukan ‘kaleng-kaleng’ dan mempunyai taraf pendidikan yang boleh dibanggakan antaranya doktor, profesional lulusan Universiti Al-Azhar dan sebagainya lagi.

“Paling mustahak sekali mereka ini adalah rata-rata anak muda dan bukan itu sahaja, masing-masing mempunyai ‘track record’ yang baik apabila sentiasa mendampingi rakyat dan ini yang kita titikberatkan sejak daripada awal.

“Bukan setakat kita menampilkan wajah-wajah calon muda tetapi calon muda sepertimana yang disebutkan oleh presiden…diterima, disukai dan insya Allah boleh menang pada PRN kali ini dan tawaran ini kita berikan kepada rakyat. Kita harapkan rakyat akan buat pertimbangan yang terbaik kerana akhirnya mereka ini menawarkan diri untuk memberikan khidmat bakti kepada rakyat di negeri Melaka,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.