Tok Mat, Najib Suntik Semangat Hari Penamaan Calon PRN Melaka

MASJID TANAH, 8 Nov – Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Seri Mohamad Hasan bersama Penasihat BN yang juga bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak hari ini menyuntik semangat kepada seluruh jentera parti dengan turun ke negeri Melaka sempena penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN).

Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO tiba di Villa D’ A’qua bersama Najib selain kelima-lima calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Parlimen Masjid Tanah.

Proses penamaan calon yang bermula pada pukul 9 pagi diadakan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).

Kelima-lima calon BN untuk kawasan Masjid Tanah berkumpul di sini sebelum masing-masing bergerak ke pusat penamaan calon yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Mohamad atau lebih dikenali dengan ‘tok mat’ bersama-sama dengan mereka yang lain kemudiannya mengaminkan doa sebelum memberikan ucapan semangat kepada calon-calon yang akan bertanding.

Calon BN bagi DUN Kuala Linggi, Rosli Abdullah; DUN Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; DUN Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; DUN Lendu, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dan DUN Taboh Naning, Zulkiflee Datuk Seri Mohd Zin.

PRN Melaka ke-15 bermula hari ini dengan proses penamaan calon berlangsung dalam suasana norma baharu di 28 pusat penamaan yang akan dibuka pada pukul 9 pagi.

SPR menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 Nov dan undi awal pada 16 Nov, ekoran pembubaran DUN pada 4 Okt lepas susulan empat ADUN menarik sokongan terhadap kepimpinan ketua menteri.

Melaka yang mempunyai 28 kawasan DUN, memiliki seramai 495,196 pengundi berdaftar dengan 240,530 atau 48.57 peratus pengundi adalah lelaki dan baki 254,666 atau 51.43 peratus, wanita. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.