Saingan Tiga Penjuru Di DUN Ketua Menteri Melaka

Masjid Tanah, 8 Nov – Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu yang juga Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali akan berdepan dua lagi saingan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang akan berlangsung 20 November depan.

Sulaiman daripada Barisan Nasional (BN) akan berdepan calon daripada Pakatan Harapan (PH) dan juga Perikatan Nasional (PN).

PH meletakkan Mohamad Asri Ibrahim, manakala PN pula meletakkan Mejar (B) Abdullah Mahadi sekaligus menyaksikan pertembungan tiga penjuru untuk DUN Lendu.

Proses penamaan calon bagi DUN Lendu berlangsung di Dewan Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Lendu, di sini, pagi tadi.

Datuk Seri Sulaiman Md Ali daripada BN, menyerahkan borang pencalonan pada pukul 9.15, Mejar (B) Abdullah Mahadi dari PN pukul 9.10 dan calon daripada PH, Mohamad Asri Ibrahim pula pada pukul 9.06.

Perkara tersebut diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi DUN Lendu, Mohd Haidir Haron selepas selesai proses penamaan calon yang dibuka pada pukul 9 pagi tadi.

Hari ini Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka membuka tirai dengan 28 kerusi DUN akan dipertandingkan. – UMNO ONLINE

Oleh: Azman Abas