Bung Yakin BN Berpeluang Menguasai PRN Melaka

MELAKA, 8 Nov – Barisan Nasional (BN) dilihat berpeluang untuk memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ini berbanding dengan Pakatan Harapan (PH) yang gagal menunaikan janji selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata BN diyakini mempunyai peluang yang lebih baik berbanding PH serta Perikatan Nasional (PN) yang dilihat terdiri daripada ramai pelompat parti dan didakwa tidak disukai pengundi.

Menurut Bung yang juga Ketua UMNO Sabah, rakyat dapat melihat selama berdekad-dekad BN terbukti berjaya mentadbir negara dengan baik untuk kestabilan politik dan ekonomi serta memulihkan negara dari krisis.

“Berlandaskan kejayaan dan kecekapan BN menjaga kestabilan politik dan mengurus ekonomi negara sebelum ini, tidak ada sebab bagi rakyat Melaka menolak BN pada PRN kali ini” katanya ketika ditemui selepas mengiringi calon BN N.23 Telok Mas Datuk Abdul Razak Haji Abdul Rahman ke pusat penamaan calon di Kompleks Komuniti Desa (KKD) Melaka Tengah pagi tadi.

Bagi kawasan DUN N.23 Telok Mas calon BN Abdul Razak yang juga Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka akan berhadapan dengan calon PN Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen yang juga Pengerusi PN Melaka, calon PH Calon Ashrat Mukhlis Minghat dan seorang calon bebas Muhammad Ariff Adly Mohammad.

Diajukan soalan pada PRN Melaka kali ini di mana BN menampilkan kira-kira 21 peratus calon muda Bung Moktar berkata, UMNO serius dalam usaha meremajakan parti tersebut apabila memilih ramai calon muda dalam PRN ini.

Menurut Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, beliau berkeyakinan calon muda yang terpilih pada PRN kali ini mampu memberikan saingan kepada calon-calon lain dan mampu menggalas amanah serta tanggungjawab sekiranya mereka terpilih menjadi wakil rakyat.

“Keputusan ini merupakan satu perkembangan baik untuk parti kerana kebanyakan calon muda yang dipilih mempunyai latar belakang yang berbeza selain berpendidikan ada dari kalangan profesional seperti doktor dan sebilangannya adalah calon yang dihasilkan dari kilang pemuda” katanya lagi.

Bung menambah bagi calon BN Telok Mas Abdul Rahman merupakan salah seorang calon muda yang dihasilkan dari kilang pemuda yang sebelum ini beliau pernah menjadi Bendahari Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang sudah tentu memiliki pengalaman untuk memikul tugas dan tanggungjawab sebagai wakil rakyat sekiranya diberikan peluang pada PRN kali ini.

“PRN negeri Melaka kali ini UMNO bukan sahaja menampilkan calon yang umurnya muda semata-mata namun calon ditampilkan adalah mereka yang sudah lama berjuang dalam parti dan dapat diterima oleh rakyat,” tambah Bung lagi.

Dalam pada itu Bung turut mengingatkan jentera parti dari Sabah agar terus membantu calon-calon BN di kawasan-kawasan yang mereka ditugaskan dan sentiasa menjaga adab dan sopan serta imej parti di samping mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.