PRN Melaka: Calon Wanita Ada Faktor ‘Wow’ Untuk Menang – Norliza

KUALA LUMPUR, 6 Nov – Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia Datuk Norliza Abdul Rahim menyifatkan lima calon wanita yang diketengahkan iaitu tiga dari Wanita UMNO dan masing-masing satu dari Puteri dan MCA mempunyai faktor ‘wow” untuk menang.

Ujarnya, walaupun calon wanita di dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini sekadar 18 peratus daripada keseluruhannya pencalonan Barisan Nasional (BN), namun kekuatan kelima-lima calon itu sangat penting bagi menyumbang kepada kemenangan parti.

“Calon-calon Wanita BN adalah calon yang dinamik dan mempunyai imej segar dalam membawa kepada pembaharuan demi kebaikan pengundi.

“Kekuatan jentera Jalinan Rakyat (JR) dan JR Plus adalah sumber mendekati pengundi dalam keadaan kempen pilihan raya dalam norma yang baharu,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu lagi, PRN Melaka ini tidak pernah dilaksanakan BN dalam mana-mana pilihan raya sebelum ini malahan menampakkan komitmen BN untuk melakukan perubahan demi rakyat Melaka.

“Ciri yang paling utama kali ini diketengahkan ialah calon yang setia kepada parti,” tegas Ketua Wanita BN Pulau Pinang itu lagi.

Ulasnya lagi, aspirasi BN yang juga mengetengahkan 49 peratus calon berusia 50 tahun ke bawah memperlihatkan calon-calon muda ini boleh menawarkan perkhidmatan terbaik dan kuat bekerja untuk rakyat selari dengan slogan BN – ‘Kestabilan Demi Kemakmuran’.

Pagi tadi, Pengarah PRN Melaka yang juga Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan mengumumkan nama-nama calon BN di kesemua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi.

Lima calon BN yang mewakili kaum wanita adalah seperti Tuminah Kadi @ Mohd Hasim bagi DUN Pantai Kundor; Datuk Kalsom Nordin, DUN Pengkalan Batu; Leong Hui Ying, DUN Kesidang; Datuk Khaidhirah Abu Zahar, DUN Rim; dan Siti Faizah Datuk Abdul Azis bagi DUN Sungai Rambai. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.