PRN Jadi Peluang Rakyat Tebus Kekecewaan Dimanipulasi PH – Shamsul Anuar

KUALA LUMPUR, 6 Okt – Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang bakal berlangsung pada 20 Nov ini menjadi harapan baharu buat rakyat di negeri ini untuk memperbaiki semula keadaan dengan mengundi Barisan Nasional (BN), kata Pengarah Komunikasinya, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Jelas beliau, Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu wajar dijadikan teladan yang menyaksikan rakyat Melaka berjaya dimanipulasi oleh Pakatan Harapan (PH).

“Sebab itu saya harap kita dapat perbetulkan dalam PRN kali ini… rakyat Melaka berhak untuk mendapatkan kerajaan yang baik, sudah tentunya adalah BN.

“Kekalahan kita pada PRU-14 sebahagian besar berpunca daripada berjayanya PH memanipulasi, melaksanakan berita tidak benar fitnah, adu domba dan sebagainya.

“Kelemahan kita pada waktu itu adalah lewat menjawab segala fitnah-fitnah yang dilemparkan oleh mereka yang akhirnya rakyat terpengaruh dan diterjemahkan melalui bentuk undi dengan mengundi PH dan menolak BN,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program bual bicara ‘Gegau Melaka’ bertajuk PRN Melaka: BN Kekal Momentum Kempen Matang yang disiarkan secara langsung di Facebook UMNO Online, malam tadi.

Jelas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu lagi, melihat pada keadaan tersebut jentera parti perlu bersiap sedia untuk berhadapan dengan pelbagai kemungkinan termasuk menangkis dakwaan yang tidak benar daripada pembangkang.

“Melihat kepada situasi itu maka jentera parti mesti memperbetulkan keadaan dengan cepat menjawab isu, menonjolkan perkara yang baik, jelaskan kebaikan parti kepada rakyat.

“Saya percaya kalau ini kita dapat lakukan ia akan membolehkan rakyat memperbetulkan kesilapan mereka dan mengundi semula BN.

“Yang penting saya harap jentera parti jangan sesekali berlegar dalam kalangan ahli parti sahaja kerana kita mesti bekerja untuk rakyat secara keseluruhannya,” ujar beliau.

Katanya, jentera dalam komponen BN memainkan peranan penting untuk menyebarkan agenda yang dibawa parti untuk memastikan rakyat memahami pendekatan tersebut melalui kaedah yang bersesuaian dengan kumpulan pengundi.

“Jentera parti penting kerana berperanan untuk mengajak rakyat untuk mengundi kita, jadi bagaimana hendak mengajak itu?

“Jawapannya melalui pendekatan yang tersendiri dengan mengikut kesesuaian kelompok-kelompok yang sangat berbeza. Apa yang kita sampaikan kepada rakyat itu mesti tepat dan betul kerana rakyat bijak untuk menilai,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.