Keupayaan Boleh Menang, Kredibiliti Calon Jadi Keutamaan Parti – Pemuda UMNO

KUALA LUMPUR, 6 Nov – Pemuda UMNO percaya kepimpinan peringkat pusat dan negeri Melaka telah menganalisa keupayaan calon untuk menang dan kredibiliti mereka sebelum diberi watikah membawa bendera Barisan Nasional (BN).

Ujar Pengarah Komunikasinya Syed Mohd Johan Rizal Bin Syed Unan Mashri, dengan jumlah seramai 495,196 pengundi akan menentukan pemimpin pilihan mereka pada 20 Nov nanti, kerja keras amat diperlukan dalam mendekati pengundi.

“Sebahagian besar daripada angka itu adalah pengundi baru dan pengundi muda yang perlu didekati Pemuda UMNO.

“Kami melihat ia adalah peluang memberi keyakinan kepada rakyat bahawa UMNO adalah yang mempunyai kredibiliti untuk membawa negara, khususnya negeri Melaka terus cemerlang, stabil dan makmur,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya lagi, pihak juga menyokong langkah BN bertanding secara solo.

“Parti telah membuat keputusan maka kami jentera akan sepenuh tenaga mengerah keringat terutamanya membantu empat orang calon BN yang terdiri daripada Pemuda UMNO.

“Biarpun bertanding solo akan memberi cabaran besar tetapi kami akan tetap harungi, kerana itulah yang telah dilakukan sejak dahulu,” ujar Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar itu lagi.

Ulasnya lagi, dengan pengumuman calon BN pagi tadi oleh Timbalan Pengerusi BN, yang juga Pengarah Pilihan Raya Negeri Melaka Datuk Seri Mohamad Hasan jelas menunjukkan parti telah berani berubah dengan meletakkan 86 peratus daripada 28 calon terdiri dari muka baru serta menampilkan lebih ramai golongan muda.

“Syabas, ia satu tindakan yang sangat dialukan dan kena pada masanya bagi era pembaharuan mendepani rakyat.

“Pemuda UMNO menyokong langkah berkenaan dan yakin tawaran pemimpin muka muda dan baharu dapat memberi keyakinan kepada pengundi untuk bersama BN dan ia juga membuktikan UMNO tidak ketandusan calon berkaliber serta memberi kesegaran dalam idealisma perjuangan,” katanya.

Tambahnya lagi, dalam menuju perubahan landskap politik yang lebih dinamik, harus dibuka peluang kepada setiap orang yang berkelayakan untuk menjadi calon.

“Yang penting ia adalah calon yang boleh menang, diterima masuarakat dan boleh berkhidmat dengan baik,” ujarnya.

Jelasnya dengan mengambil contoh semasa pilihan raya kecil Parlimen Cameron Highland pada Januari 2019, BN telah menongkah kelaziman dengan mencalonkan ‘orang luar hierarki parti’ Ramli Md Nor, dan hasilnya BN beroleh kemenangan sangat baik.

“Dan diharapkan tindakan berani menampilkan calon baru pada PRN Melaka kali ini juga dapat membuahkan hasil ala ‘Cameron Highland’.

“Semoga semangat kemenangan pilhan raya kecil Cameron Highland, Rantau, Tanjung Piai, Kimanis, Chini, Slim berterusan pada PRN Melaka,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.