Beri Kami Peluang Untuk Teruskan Agenda Kemakmuran Di Melaka – Sulaiman

KUALA LUMPUR, 6 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu yang juga bakal Ketua Menteri sekiranya BN berjaya membentuk kerajaan negeri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berharap agar rakyat memberikan peluang kepada parti berkenaan untuk meneruskan segala perancangan sebelum ini demi kemakmuran negeri itu.

Pada masa yang sama beliau turut mengingatkan pengundi di DUN Lendu khususnya dan juga seluruh rakyat Melaka agar jangan sesekali melakukan kesilapan dan membuat pilihan yang terbaik untuk negeri berkenaan.

“Saya bersyukur kepada Allah SWT kerana parti masih lagi memberikan peluang untuk meneruskan lagi pelbagai agenda di Melaka termasuklah di DUN Lendu. Insya-Allah banyak perkara yang berada di dalam perancangan saya untuk dilaksanakan.

“Kita memohonlah kepada pengundi supaya kali ini jangan buat sebarang kesilapan dan pastikan BN terus menerajui di DUN Lendu dan juga Melaka demi untuk kestabilan dan kemakmuran bersama. Kekalkan kesejahteraan dan perpaduan,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Barisan Nasional (BN) hari ini mengumumkan senarai calon yang akan bertanding pada PRN Melaka 20 Nov depan.

Majlis berkenaan diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Kuala Lumpur hari ini, dan diumumkan oleh Pengarah PRN Melaka yang juga Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

UMNO akan bertanding 20 daripada 28 kerusi DUN manakala tujuh (MCA) dan satu (MIC).

Pada PRN Melaka ini, BN mempertaruhkan 86 peratus calon muka baharu dan mengekalkan hanya empat penyandang iaitu Sulaiman, Exco Kesihatan dan Anti Dadah Datuk Rahmad Mariman, Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan Datuk Muhammad Jailani Khamis serta Datuk Zaidi Attan.

Dalam pada itu beliau turut mengingatkan agar seluruh jentera parti melipatgandakan lagi usaha bagi memastikan kejayaan BN kelak.

“Kepada jentera parti lipatgandakan usaha…kita mesti sama-sama bawa kejayaan. Syabas dan tahniah kepada calon-calon yang terpilih hari ini.

“Ingat…kita terus bekerja banyak rancangan-rancangan yang tertunggak. Saya mohon lipatgandakan usaha dan marilah bersama-sama kita jayakan agenda yang kita rancang,” tambahnya. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.