Ab Rauf Harap Seluruh Jentera Lipatgandakan Usaha, Demi Kemenangan BN

KUALA LUMPUR, 6 Nov – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berharap seluruh jentera parti di semua peringkat dapat melipatgandakan lagi gerakan dalam usaha memastikan perjalanan kempen yang akan bermula Isnin ini berjalan lancar.

Apa yang penting tambah beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, kerjasama pelbagai peringkat itu penting untuk membuahkan hasil terutama dalam usaha melicinkan pelaksanaan sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 20 Nov depan.

“Kita telah lama gerakkan jentera di semua peringkat Parlimen, Dewan Undangan Negeri (DUN) dan cawangan. PRN ini adalah ukuran umum di peringkat persekutuan dalam masa terdekat.

“Jadi semua jentera diminta bekerja dengan penuh semangat di kawasan yang kita tandingi dan sasarkan untuk menang agar ianya dapat memberikan kemenangan kepada BN nanti, insya-Allah,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Beliau yang juga calon BN DUN Tanjung Bidara seterusnya melahirkan rasa syukur dengan amanah yang diberikan oleh parti pada PRN kali ini setelah diberikan tanggungjawab sebagai salah seorang calon muka baharu.

“Saya menerima pencalonan ini dengan penuh tanggungjawab untuk bersama-sama membina semula Melaka bersama-sama dengan rakan lain setelah terhenti seketika sebelum ini.

“Harapan saya kepada semua pimpinan di seluruh Melaka supaya agar kita bergerak bersama untuk mendapat mandat daripada rakyat  dalam usaha membentuk kerajaan nanti dan biarlah mandat ini diberikan dengan penuh maruah,” katanya lagi.

Begitu juga beliau melihat rakyat kini dapat membezakan antara kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang gagal dengan BN yang berjaya memakmurkan negeri itu.

“Rakyat mula sedar daripada awal 2018 setelah BN tidak dapat menerajui kerajaan negeri dan diberikan 22 bulan kepada PH ternyata ianya tidak dapat memenuhi citarasa rakyat negeri Melaka pada waktu itu, dan setelah diambil alih oleh kami kita lihat bahawa kecemerlangan BN telah membawa lebih keceriaan kepada rakyat dalam banyak perkara yang telah kita selesaikan.

“Oleh itu saya melihat rakyat Melaka mempunyai dua pengalaman berbeza sudah pasti kita memohon rakyat Melaka memilih BN demi kestabilan dan kemakmuran…insya-Allah,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.