Bakal Calon BN Perlu Tandatangan ‘Perjanjian’, Elak Peristiwa Lompat Parti Berulang – Mohamad

MASJID TANAH, 5 Nov – Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Negeri Melaka, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata calon-calon daripada parti itu yang akan bertanding pada PRN negeri tersebut 20 Nov depan akan menandatangani dokumen perjanjian bagi mengelakkan peristiwa lompat parti terus berlaku.

Menurut beliau selagi mana Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak mempunyai sebarang akta atau enakmen mengenainya, langkah persediaan untuk mengekang perkara tersebut daripada berlaku selepas pilihan raya perlu dilaksanakan.

“Kita telah pun buat persiapan… ‘team’ peguam kita meneliti perkara ini bagi mengelakkan tidak ada lagi mereka-mereka yang menang atas tiket BN melompat agar kestabilan politik di tanah air terutama di Melaka… atau pun selepas pilihan raya itu penting.

“Jadi buat sementara waktu yang mana di dalam parlimen atau DUN belum ada lagi akta atau enakmen maka kita terpaksa membuat akujanji atau ‘agreement’, dan ada dua tiga lagi dokumen yang perlu ditandatangani bakal-bakal calon,” katanya di sini, hari ini.

Terdahulu beliau menyerahkan jentera BN Negeri Sembilan kepada tiga DUN di dalam Parlimen Masjid Tanah iaitu DUN Lendu, Taboh Naning dan Ayer Limau, di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka yang juga Ketua UMNO Masjid Tanah, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Menjawab soalan mengenai calon-calon yang digugurkan pada PRN nanti, Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO menegaskan penyandang sebelum ini memberikan kerjasama yang cukup baik.

“Seperti mana pada hari ini semua penyandang ada dan mereka memberikan kerjasama… mereka telah mewakili DUN masing-masing tiga penggal dan sampai masanya memberikan laluan atau pendedahan kepada pemimpin-pemimpin pelapis agar proses peremajaan atau menstransformasi parti ini dapat dilakukan sepertimana kita berjanji dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU).

“Proses peremajaan ini sentiasa berlaku. Pada PRN Melaka ini saya sebagai Pengarah Pilihan Raya Negeri dan Pusat mengambil peluang untuk saya menterjemahkan hasrat parti melakukan peremajaan, proses memberi peluang kepada pelapis mengambil tempat,” tambahnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 Nov manakala penamaan calon pada 8 Nov dan undi awal pada 16 Nov.

PRN Melaka diadakan ekoran pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Okt lepas susulan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Empat ADUN berkenaan ialah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).- UMNO Online

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.