PRN Melaka: Orang Melayu, Penjawat Awam Pasti Tolak PH – Isham Jalil

KUALA LUMPUR, 29 Okt – Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil berpandangan orang Melayu khususnya di Melaka tidak akan memilih Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Katanya ini kerana rakyat telah melihat sendiri kegagalan dan kecelaruan pemimpin PH dalam urus tadbir negeri itu sepanjang 22 bulan.

“Orang Melayu tak akan pangkah PH selepas apa yang kita tengok dalam tempoh itu satu pun mereka tak tunai janji.

“Banyak projek-projek di negeri Melaka termasuk pembesaran highway, masalah air yang kritikal mereka telah batal ini memberikan kesan kepada rakyat.

“Orang Melayu kalau undi PH ini saya tak rasa…ini berdasarkan 22 bulan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Gegau Melaka: Kempen Norma Baru, Siapa Yang Untung? yang disiarkan secara langsung di Facebook UMNO Online, malam tadi.

Sementara itu Isham juga turut berpendapat bahawa penjawat awam juga akan turut mengambil pendekatan yang sama berdasarkan corak pentadbiran PH di peringkat persekutuan yang bertindak meminggirkan golongan ini.

“Sungai Udang antara kawasan yang jadi tumpuan… UMNO/BN ada peluang di situ kerana ada 9,000 undi tentera saya rasa mereka tidak akan beri kepada PH.

“Sebab masa PH perintah dahulu mereka hendak potong elaun kerajaan, kurangkan penjawat awam jadi mereka ini dengan PH ini tidak berapa baik.

“Saya dahulu penjawat awam bila PH perintah kawan-kawan banyak lontarkan rungutan sebab macam-macam isu yang mereka buat,” tegas beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.