Yakin Dengan Keputusan Parti, UMNO Akan Kembali Memerintah Melaka

KUALA LUMPUR, 28 Okt – Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka adalah peluang bagi UMNO membawa perubahan dalam mengimbangi landskap politik lama dengan memperkenalkan calon-calon muda untuk bertanding, kata Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris.

Namun begitu jelas beliau pihaknya tidak menolak calon lama yang lebih berpengalaman dan tentunya dalam situasi itu parti memerlukan kedua-duanya supaya parti dan kerajaan dapat bergerak dengan seimbang dan kompeten.

“Walaupun sukar untuk dilaksanakan kerana pasti akan ada golongan ‘opportunist’ dan ‘warlord’ yang mahu menjadi calon dan golongan muda berpotensi akan dipinggirkan atau dicantas. Inilah lumrah politik ada masa untung, ada masa rugi namun UMNO berpeluang menambahbaik arena politik dengan tawaran serta pendekatan yang lebih universal.

“Golongan muda ini mampu membawa naratif politik baharu yang menjadi tuntutan utama pengundi pada hari ini. Budaya ini perlu diubah demi survival parti UMNO, PRN Melaka ini adalah ujian UMNO sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 yang pasti lebih mencabar dan getir,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Kuala Terengganu menambah, jika terdapat tiga penjuru sekali pun, peluang UMNO terbuka jika calon itu disukai rakyat, berkredibiliti, bersih, dinamik dan progresif.

“Saya yakin Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta kepimpinan tertinggi di peringkat negeri dan juga bahagian mempunyai kebijaksanaan dalam mencatur strategi demi survival parti dan kesejahteraan rakyat,” ujarnya.

Ulas Dr Najmil juga, sebagai ahli parti masing-masing mempunyai peranan dan tanggungjawab untuk memperkukuhkan lagi parti dalam mendepani cabaran semasa khususnya PRN Melaka dan PRU akan datang serta bagi ahli UMNO biar apapun berlaku masing-masing haruslah yakin dengan keputusan parti dan berusaha memenangkan calon nanti. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.