Tonjolkan Kebaikan Dan Kelebihan BN Dalam PRN Melaka – Shamsul Anuar

KUALA LUMPUR, 28 Okt – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah menyeru kepada seluruh jentera Barisan Nasional (BN) agar dapat menonjolkan kebaikan dan kelebihan parti ketika berkempen di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka nanti.

Ujar Ahli Parlimen Lenggong itu, ia penting dilakukan sesuai dengan saranan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semasa pelancaran jentera BN pada malam tadi.

“Kita percaya rakyat sangat matang. Mereka boleh menilai dengan bijaksana. BN inginkan kemenangan besar agar dapat mentadbir dengan memimpin kerajaan yang stabil.

“Oleh itu kita harap rakyat Melaka akan memberikan peluang kepada BN,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Seterusnya Dr Shamsul Anuar yang juga Pengarah Komunikasi BN turut menitipkan pesanan kepada seluruh pendukung parti agar fokus kepada kemenangan BN berbanding kepentingan peribadi.

“Kepada pimpinan dan jentera serta ahli parti kita ketepikan apa juga kepentingan peribadi.

“Keutamaan adalah parti dan rakyat. BN mesti menang. Kerana BN mahu berbakti kepada rakyat,” katanya.

Malam tadi, ketika berucap sebelum melancarkan jentera, Ahmad Zahid berkata BN menjanjikan bahawa manifesto yang bakal diketengahkan oleh parti pada PRN Melaka kelak bakal membawa signifikannya yang tersendiri buat rakyat.

Sementara itu Ahmad Zahid juga menggariskan beberapa faktor utama untuk pemilihan calon pada PRN ini yang memiliki keupayaan memberikan kemenangan kepada parti.

“Calon ini mesti ada sikap WALI iaitu winnable (boleh menang), acceptable (boleh diterima) dan likeable (disukai) yang boleh diterima oleh semua agama, kaum dan keturunan di negeri Melaka,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.