PRN Melaka: Hormati Keputusan Parti, Promosikan Calon BN – MCA

KUALA LUMPUR, 28 Okt – Pengerusi Biro Penerangan MCA Chan Quin Er berkata apa juga keputusan yang dibuat oleh parti Barisan Nasional (BN) untuk meletakkan calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, ia harus diterima dengan hati yang terbuka.

Ujarnya, perkara yang perlu dititikberatkan ialah harus berkempen secara berhemah untuk mempromosikan calon BN yang dipilih.

“Kita perlu terus berpegang kepada teras aku janji parti untuk menarik minat pengundi dan jangan sesekali menggunakan taktik kotor apatah lagi politik berbaur perkauman, fitnah serta kebencian semata-mata untuk meraih sokongan rakyat.

“Sebagai sebuah parti yang mendokong amalan politik matang dan profesional, MCA juga berharap agar tempoh berkempen nanti tidak dicemari dengan politik jijik yang memualkan masyarakat, serta tiada lagi isu perkauman yang dicetuskan kerana ia bukan sahaja memecah-belahkan Keluarga Malaysia, bahkan turut memberi tempias sesama sendiri,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman web rasmi MCA hari ini.

Tambahnya lagi, PRN Melaka akan menjadi medan untuk semua parti menonjolkan kreativiti masing-masing dalam berkempen memandangkan kerajaan telah mengumumkan larangan segala bentuk perhimpunan berkaitan pilihan raya bermula 25 Oktober hingga 27 November depan.

“Gunakanlah segala teknologi yang ada untuk berkempen dan dekatkan diri dengan para pengundi secara norma baharu. Apapun prosedur operasi standard (SOP) yang bakal diumumkan dan dimuktamadkan nanti perlulah dipatuhi oleh semua pihak demi kebaikan rakyat khususnya pengundi dalam PRN Melaka,” katanya.

Beliau juga mengulas mengenai kenyataan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap pada pelancaran jentera PRN Melaka malam tadi yang berkata BN akan mengemukakan calon yang mempunyai sifat ‘WALI’ – winnable (boleh menang), acceptable (diterima) dan likeable (disenangi) semua kaum dan masyarakat, yang sememangnya bersesuaian serta bertepatan dengan situasi politik sekarang ini yang memerlukan muka baharu bagi mewakili suara rakyat.

“Bukan itu sahaja, calon muka baharu dan muda ini juga dilihat sebagai usaha melahirkan lebih ramai pemimpin pelapis pada masa depan yang dapat memenuhi kehendak rakyat secara menyeluruh.

“Tidak dinafikan, tokoh-tokoh pemimpin yang banyak pengalaman masih diperlukan, tetapi jika digandingkan dengan generasi muda, pasti hasilnya luar biasa.

“Generasi muda atau muka baharu ini juga mampu mengukuhkan lagi sokongan golongan muda kepada kerajaan, selain membantu menyumbangkan idea segar dalam penggubalan dasar kerajaan baik di peringkat negeri mahupun pusat,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.