Saya Tidak Akan Izinkan Walau Seminit Serah Melaka Kepada Dap, Tegas Ab Rauf

KUALA LUMPUR, 27 Oktober – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata beliau sesekali tidak akan menyerahkan kerajaan negeri Melaka kepada Dap dan Pakatan Harapan (PH).

Dedah Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka itu, perkara demikian ditegaskan kepada parti tersebut dalam satu pertemuan di kediaman Pengerusi Dap Melaka ketika berbicara ilmiah politik rentetan kemelut politik negeri tersebut.

“Saya bersama Timbalan Pengerusi Perhubungan (UMNO Negeri) Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad berjumpa dengan Pengerusi Dap Melaka di rumah beliau yang dikatakan di media sosial saya minta nyawa dengan Dap.

“Saya tidak mengizinkan menyerahkan kerajaan ini kepada Dap walaupun seminit saya akan pertahankan negeri Melaka. Jadi apabila saya berbicara secara ilmiah politik apa nak jadi…dia kata itu bukan masalah mereka…itu ialah masalah UMNO, bukan masalah Dap… tetapi kerajaan UMNO tidak akan jatuh kalau tidak disambut oleh parti PH yang mempunyai kepentingan untuk menjatuhkan kerajaan ini.

“Saya berkata kepadanya kenapa anda tak ambil memorandum yang ditandatangani oleh Dap di Kuala Lumpur…pilihan raya boleh berlaku selepas bulan tujuh (Julai 2022). Dengan sombong dia berkata…Datuk, satu hari jadi kerajaan negeri banyak syok… Saya cakap dengan dia…sekarang anda boleh dapat, kerajaan jatuh…tapi saya ada seribu satu jalan untuk mempertahankan kerajaan ini. Anda nak pegang satu hari? Seminitpun saya takkan izinkan anda semua ambil alih kerajaan ini,” tegasnya ketika berucap di Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) di sini malam.

Pelancaran tersebut telah disempurnakan oleh Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Hadir sama barisan kepimpinan tertinggi BN, Pengerusi Lembaga Penasihat BN Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan pemimpin parti mesra BN.

Begitu juga ulasnya mengenai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang Datuk Seri Idris Haron yang bersekongkol dengan PH menarik sokongan terhadap kerajaan negeri Melaka telah dipermainkan oleh Dap yang kembali mencalonkan bekas Ketua Menteri PH Adly Zahari menjawat jawatan tersebut dan bukannya Idris.

“Dalam semak ada duri, ayam kuning buat sarang, orang tamak selalu rugi macam anjing dengan bayang-bayang. Manusia yang terlalu tamak untuk menguruskan kerajaan negeri lagi sekali. Akhirnya, tuntutan nafsu serakahnya tidak diizinkan oleh Allah SWT,” katanya.

Dalam ucapannya juga, Ab Rauf menafikan tohmahan Idris yang mengatakan beliau dan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali mendapat konsesi pasir tambak laut dengan memberikan kepada kroni dan ia merupakan fitnah semata-mata.

Berhubung dengan PRN negeri tersebut, Ab Rauf mengalu-alukan bantuan jentera dari seluruh negara untuk memenangkan BN bagi membina semula negeri Melaka yang telah diruntuhkan oleh petualang-petualang.

Beliau juga memohon kerajaan agar menilai dan mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) kempen dengan mengambil contoh seperti kebenaran rentas negeri, masjid dibuka kapasiti penuh dan majlis sosial seperti kenduri juga telah dibenarkan.

Sebagai rekod, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 20 Nov sebagai tarikh pengundian bagi PRN Melaka, dengan tarikh penamaan calon ditetapkan pada 8 Nov manakala pengundian awal pada 16 Nov.

DUN Melaka dibubarkan pada 4 Okt lepas susulan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.