PRN Melaka Ukuran Prestasi BN – Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR, 27 Okt – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan berkata Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka perlu dihadapi dan diuruskan dengan sebaiknya kerana ia amat penting bagi parti.

Kata Timbalan Presiden UMNO itu, ini kerana ia menjadi ukuran kepada prestasi parti untuk menghadapi pilihan raya umum (PRU) nanti.

“Maka kita (parti) sedang berhadapan dengan keadaan ajal dan maut. Tak betul kita urus, tak betul kita hadapi dan tak serius maka maut akan menanti parti kita dan tidak ada lagi,

“Seperti tentera Islam nak menakluki Andalusia Jibraltar dibakar kapal, di belakang laut di depan musuh. Yang kita hadapi ini ialah untuk kita berhadapan dengan orang nak melihat kita gugur. Dengan orang berzaman-zaman nak melihat UMNO/BN ini ditewaskan.

“Maka perlulah berhati-hati, berstrategi, menggunakan segala taktikal yang ada untuk kita menghadapi dan mengharungi PRN ini,” katanya ketika berucap di Majlis Pelancaran Jentera BN bagi PRN Melaka malam ini.

Pelancaran tersebut telah disempurnakan oleh Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Hadir sama barisan kepimpinan tertinggi BN, Pengerusi Lembaga Penasihat BN Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan pemimpin parti mesra BN.

Sehubungan itu, Mohamad memberikan semangat kepada jentera agar menghadapi segala cabaran dan halangan akibat kekangan daripada prosedur operasi standard (SOP) kempen yang agak ketat ditetapkan oleh kerajaan.

“Walaupun kita berhadapan dengan pelbagai halangan tetapi ini tidak akan menjadi pematah semangat kepada kita. Walaupun di Melaka kita tidak boleh berkempen seperti biasa kerana adanya arahan daripada kerajaan untuk menjaga kesihatan awam lebih penting, itu jangan jadi satu batu penghalang kepada kita, kita dah biasa berkempen di Chini dengan SOP yang ketat,” katanya.

Begitu juga katanya selaku Pengarah Pilihan Raya bagi PRN Melaka, dengan barisan kepimpinan parti, beliau telah menyusun atur jentera parti dan paling penting adalah di peringkat Pusat Daerah Mengundi (PDM).

“Saya selaku Pengarah Pilihan Raya telah menyusun atur jentera parti…cara mana yang terbaik untuk kita susun jentera menghadapi PRN ini.

“Maka disusun begitu rapi..yang penting jaga PDM kerana perang kita menang kalah di PDM, jangan tinggalkan PDM… Kita ‘micro manage’ supaya di situ nanti kita akan meraih kejayaan, Insya-Allah.

“Jangan terganggu dengan halangan. Orang nak lihat kita gagal, orang nak lihat kita terkeliru, janganlah kita bagi apa-apa alasan, pikul tanggungjawab dan amanah yang penting kita mesti menang dalam PRN ini. Kerana cerminan PRN Melaka ini merupakan cerminan kepada PRU nanti. Pengukuran prestasi kita banyak daripada PRN ini,” tegasnya. – UMNO ONLINE