Wanita UMNO Tulang Belakang Parti, Berdepan Cabaran PRN Melaka – Ab Rauf

MASJID TANAH, 23 Okt – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berpandangan Wanita UMNO merupakan tulang belakang parti terutama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Katanya, peranan Wanita tidak dapat dinafikan di sebalik gerak kerja dan komitmen mereka bagi memenangi pilihan raya ini sekaligus membolehkan Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan negeri selepas PRN.

“Saya melihat peranan Wanita ini memang merupakan jentera yang menjadi frontliners dalam pilihan raya negeri.

“Kesiap-siagaan Wanita telah diazamkan serta suntikan semangat telah dilakukan oleh Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad agar memastikan PRN ini akan menjulang kemenangan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas ditemui menghadiri Majlis Pelancaran Jentera Jalinan Rakyat (JR) PRN Melaka yang turut dihadiri Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Ketua Wanita UMNO Melaka, Datuk Latipah Omar dan kepimpinan lain.

Sementara itu, Rauf yang juga Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah berkata segala persiapan menuju pilihan raya ini telah dilakukan dengan sebaiknya malah beliau optimis dengan sokongan rakyat terhadap UMNO/BN.

“Kesiap-siagaan kita telah pun sampai ke peringkat 90 peratus namun kita sedang menunggu prosedur operasi standard (SOP) yang akan diberikan oleh kerajaan.

“Buat masa ini saya berpandangan mood rakyat pada waktu ini sudah tentu bersama dengan UMNO/BN,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.