Jentera UMNO Optimis, Semangat Hadapi PRN Melaka – Ahmad Maslan

JASIN, 22 Okt – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berpandangan semangat yang ditunjukkan jentera parti amat memberangsangkan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Katanya, mereka juga berkeyakinan bahawa calon-calon yang bakal diketengahkan kelak berupaya mengekalkan Barisan Nasional (BN) untuk mentadbir kerajaan negeri.

“Saya lihat semangat jentera UMNO/BN amat tinggi sekali dan mereka tidak kira apa yang diputuskan oleh pucuk pimpinan dari segi bertanding, tidak kira siapa juga calon saya lihat mereka tidak mahu mengulangi kesilapan yang lampau.

“Kita telah kalah negeri dan negara sebelum ini… dalam hati mereka semestinya inginkan kemenangan untuk memerintah negeri dan negara, itu yang saya lihat secara umum.

“Saya harap semangat ini akan kekal sehingga 20 November kerana kita ingin BN memerintah negeri Melaka ini, bahkan telah terbukti banyak kejayaan yang kita telah lakukan sepanjang pemerintahan BN selama ini di negeri dan juga negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri taklimat jentera kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim yang turut dihadiri Ketua UMNO Bahagian Jasin, Datuk Hasan Abd Rahman dan kepimpinan bahagian.

“Hari ini di DUN Bemban dan di DUN Rim seterusnya hari Ahad saya akan pergi ke dua DUN di Tangga Batu. Saya harap boleh meneruskan siri ini hingga akhir ke semua DUN yang kita bertanding apabila selesai kempen nanti,” ujar beliau.

Mengulas lanjut Ahli Parlimen Pontian itu juga turut memaklumkan telah meneliti data dan maklumat pengundian yang diberikan malah yakin untuk BN memperoleh kejayaan pada PRN kali ini

“Setiap DUN yang saya pergi ini cukup lengkap data-datanya, jentera, nama cuma hendak menggerakkan sahaja… sebahagiannya sudah bergerak dengan jawatan masing-masing Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri serta bahagian dan cawangan

“Dalam buku itu telah lengkap tidak ada tempat kosong diisi siapakah penjawat jawatan itu. Saya yakin di lima DUN kawasan Jasin ini kita boleh menang, begitu juga ditempat lain yang bertanding… insya-Allah kita boleh menang.

“Jentera telah bersiap siaga dan ini bukan kali pertama kita menghadapi pilihan raya, cuma ini istimewa kerana Melaka satu-satunya yang ada PRN. Kita ingin buat yang terbaik, tidak ada overconfident tapi dalam pada masa yang sama saya yang berkeyakinan kita akan menang,” ujar beliau lagi. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.