PRN Melaka: Persediaan Jentera UMNO Berjalan Lancar – Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR, 20 Okt – Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan memaklumkan jentera parti sudah bersedia bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijadual bakal diadakan pada 20 November ini.

Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata beliau juga sudah meneliti beberapa aspek dan dijangka akan turun ke kawasan mengikut Dewan Undangan Negeri (DUN) secara mikro dan akan ke Pusat Daerah Mengundi (PDM) serta lokaliti.

“Negeri pertama yang saya turun selepas dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya oleh Presiden, mereka semua sudah bersiap sedia walaupun sebelum PRN ini.

“Persiapan yang dibuat oleh UMNO Melaka berjalan dengan lancar tetapi banyak lagi yang boleh diperbaiki.

“Kami akan turun selepas ini untuk pergi ke setiap DUN agar persiapan menghadapi PRN ini benar-benar tersusun rapi kerana ianya bukan satu perkara yang mudah dan bukan seperti pilihan raya kecil yang fokus kepada satu DUN atau Parlimen,” katanya.

Beliau ditemui selepas menghadiri Majlis Perasmian Serentak Persidangan UMNO Cawangan-cawangan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Pagoh 2021, semalam. Turut hadir adalah Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Samsolbari Jamal; Ketua UMNO Bahagian Pagoh, Ismail Mohamed dan ketua-ketua UMNO bahagian negeri.

Sementara itu, beliau juga turut berharap agar jentera UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk mempertingkatkan strategi bagi menghadapi PRN ini untuk memastikan Melaka terus kekal dibawah pentadbiran BN.

“Susun baik-baik jentera kita agar semua faham apa yang perlu dilakukan dan tugas masing-masing mesti diberitahu oleh setiap petugas-petugas.

“Ada juga diputuskan untuk negeri luar Melaka untuk datang untuk membantu seboleh yang mungkin untuk pastikan supaya UMNO/BN dapat menubuhkan semula kerajaan negeri selepas PRN ini,” ujar beliau.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 20 Nov sebagai tarikh pengundian bagi PRN Melaka, dengan tarikh penamaan calon ditetapkan pada 8 Nov manakala pengundian awal pada 16 Nov.

DUN Melaka dibubarkan pada 4 Okt lepas susulan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Empat bekas ADUN berkenaan ialah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas). – UMNO Online