PRN Melaka: Gendang Telah Dipalu, Walau Apa Cabaran UMNO Depani – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 20 Okt – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa UMNO akan mendepani apa jua cabaran demi tanggungjawabnya kepada agama, bangsa dan negara.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata demikian susulan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November 2021.

“Inilah suatu pilihan raya di luar jangka, namun gendang telah dipalu maka membujur lalu melintang patah.

“Walau apa cabaran UMNO akan depani demi tanggungjawabnya kepada agama, bangsa dan negara dan syukur ke hadrat Ilahi jentera UMNO bagi PRN Melaka telah pun dilancarkan dengan semangat membara,” katanya dalam kenyataan menerusi laman facebooknya, hari ini.

Selaras dengan itu, beliau menggesa seluruh ahli, penyokong dan pendokong UMNO siap siaga memastikan kemenangan milik mereka.

“Tiada kawasan panas atau sejuk, hitam atau putih, UMNO akan harungi dengan keazaman yang jitu.

“UMNO bertindak dan berstrategi secara kolektif. InsyaAllah kemuafakatan itu membawa kepada kejayaan,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.