UMNO Bincang Calon Dengan Presiden Selepas Pelancaran Jentera BN – Ab Rauf

ALOR GAJAH, 19 Okt – Isu berkaitan calon UMNO pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijadualkan pada 20 Nov ini akan dibincangkan dengan presiden parti itu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selepas pelancaran jentera Barisan Nasional (BN).

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata saringan calon masih dibuat di peringkat bahagian dan senarai pendek belum diperincikan.

”Banyak yang akan dibincang dan diperhalusi ketika presiden melancarkan jentera. Bagi kerjasama dengan parti lain, ia tertakluk kepada persetujuan peringkat tertinggi. Pun begitu BN Melaka kini bersedia menghadapi PRN pada 20 Nov ini,” katanya.

Bercakap pada sidang media di Villa D’Acqua, Masjid Tanah di sini hari ini, Ab Rauf berkata perbincangan juga melibatkan strategi dan jentera pilihan raya parti.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh hari ini mengumumkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 Nov manakala penamaan calon pada 8 Nov dan undi awal 16 Nov.

Pada 4 Okt lepas, SPR menerima pemakluman rasmi berhubung pembubaran DUN Melaka daripada Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh setelah kerajaan negeri pimpinan BN hilang majoriti di DUN. – BERNAMA