PRN Melaka: UMNO Dapatkan Maklum Balas Pelbagai Pihak Sebelum Ambil Sebarang Ketetapan – SUA

KOTA MELAKA, 15 Okt – UMNO masih menunggu perkembangan terkini berhubung Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka khususnya daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang akan mengadakan mesyuaratnya Isnin depan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata ruang yang ada itu digunakan oleh parti untuk mengambil segala maklum balas daripada pelbagai peringkat sebelum membuat sebarang keputusan kelak.

“Semalam ada  mesyuarat biro politik dan juga mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT). Tujuannya adalah untuk mendapatkan maklum balas terlebih dahulu…maklum balas daripada Melaka dan sebagainya.

“Oleh kerana kita baru sahaja mendapat maklum balas dan kita tidak tahu bila lagi pilihan raya, kita tidak boleh mendahului  SPR yang akan menetapkan tarikh…jadi apabila SPR buat pengumuman barulah kita tahu bila ianya diadakan maka selepas itu tentunya kita akan buat keputusan tertentu yang penting,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan perjumpaan bersama jentera setempat di Bilik Gerakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas, di sini, hari ini.

Turut serta Ketua UMNO bahagian, Datuk Abdul Razak Abd Rahman dan pimpinan yang lain.

Ahmad Maslan seterusnya menambah pelbagai perkara telah dibincangkan menerusi mesyuarat yang diadakan malam tadi namun belum mengambil sebarang keputusan.

“Sebelum kita membuat keputusan, mesti nak dapatkan maklum balas dahulu. Maklum balas ini pelbagai kaedah yang boleh dilaksanakan.

“Maklum balas serta kajian yang tepat barulah kita boleh membuat keputusan dengan tepat kelak,” ujar Ahli Parlimen Pontian itu.

Ujar beliau lagi UMNO sudah pasti mahu memenangi di kawasan yang ditandingi  manakala dari segi jumlah kerusi DUN yang akan ditandingi pula akan diputuskan oleh pucuk pimpinan parti setelah SPR membuat pengumuman. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.