Melaka: Pemuda UMNO Siap Siaga, Terus Berkhidmat Dalam Tunggu Perkembangan Seterusnya – Dr Akmal

KUALA LUMPUR, 14 Okt – Pemuda UMNO Melaka menyatakan kesediaan sama ada berlaku Pilihan Raya Negeri (PRN) atau sebaliknya kerana mereka sekian lama telah melaksanakan tanggungjawab masing-masing di pelbagai peringkat.

Naib Ketua Pemudanya Dr Muhamad Akmal Salleh berkata soal pilihan raya negeri yang hangat diperkatakan oleh pelbagai pihak hari ini sudah pasti memerlukan persiapan yang begitu rapi daripada pelbagai peringkat dalam usaha memastikan kelancarannya kelak.

“Kita mengambil sikap tunggu dan lihat perkembangan terkini berhubung PRN negeri. Apa pun kita menunggu keputusan daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan sudah pasti arahan dari semasa ke semasa daripada pucuk pimpinan.

“Insya-Allah kita bersedia kerana Pemuda UMNO Melaka telah sekian lama bergerak di bahagian masing-masing dengan peranan tersendiri. Kita tunggulah perkembangan selanjutnya tapi khidmat kepada rakyat tak pernah terhenti,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Memetik laporan, SPR akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan urusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang ke-15, Isnin ini.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak dalam kenyataan semalam berkata mesyuarat itu akan diadakan di sebuah hotel di Melaka pada jam 10 pagi yang akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh, termasuk bagi membincangkan tarikh penting PRU DUN Melaka.

Dalam hal ini, Dr Akmal yang juga Ketua Pemuda UMNO Jasin menjelaskan bahawa pergerakan itu berada dalam keadaan siap siaga dan jika PRN diadakan pihaknya akan mengambil langkah-langkah susulan yang perlu bersama dengan jentera parti yang lain.

“Untuk peringkat awal ini seperti yang diperkatakan tadi, kita tunggu dan lihat perkembangan seterusnya termasuklah perkembangan terkini daripada pimpinan parti.

“Dalam apa jua keadaan sudah pasti perkembangan terkini COVID-19 juga dalam radar perhatian kami. Insya-Allah kita sama-sama doakan yang terbaik,” ujarnya.

PRN Melaka perlu diadakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 pada 4 Oktober lalu selepas Datuk Seri Sulaiman Md Ali hilang majoriti sokongan sebagai Ketua Menteri.

Ia berikutan tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) ketika itu menarik balik sokongan kepada kepimpinan beliau, iaitu Datuk Seri Idris Haron (Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (Pantai Kundor), Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu).- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.