Benar Syarikat Pinjaman Berlesen Beroperasi… Inikah ‘Level’ Kemampuan Kerajaan PN Bantu Rakyat? – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 27 Jun – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membidas langkah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang membenarkan syarikat-syarikat Kredit Komuniti (KK) atau Pemberi Pinjam Wang (PPW) untuk beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Jelas beliau, walhal banyak lagi segmen perniagaan lain yang benar-benar penting termasuk berkait keperluan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) masih dilarang.

“Ianya malah jadi sektor ke-13 perkhidmatan perlu dibawah kluster kerajaan tempatan dalam sistem COVID-19 Intelligent Management System (CIMS 3.0),” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu lagi berkata perkara ini boleh menambah persepsi tidak baik terhadap cara kerajaan Perikatan Nasional (PN) menguruskan impak pandemik COVID-19.

“Seolah-olah menggalakkan rakyat dalam kesulitan akibat total lockdown caca marba untuk meminjam daripada syarikat PPW.

“Ini kerana tiada justikasi yang murni mengapa syarikat PPW dijenamakan semula sebagai KK dianggap essential,” ujar beliau.

Tambah Ahmad Zahid, pada ketika ini rakyat mula tertanya-tanya inikah sahaja kemampuan kerajaan PN berfikir untuk membantu rakyat yang sedang sengsara.

“Kelihatan seperti mahu menyerahkan sebahagian tanggungjawab menghulurkan tunai kepada PPW yang semestinya ‘kecil tapak tangan nyiru mereka tadahkan’.

“Bukankah ada kaedah lebih baik dan selamat untuk rakyat mendapatkan pinjaman wang iaitu daripada agensi-agensi kerajaan.

“Antaranya perluaskan dan permudahkan pinjaman oleh Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga TEKUN. Mungkin gunakan Mykad sahaja sudah cukup untuk diberi pinjaman segera. Apapun keputusan terbaru kerajaan PN itu semakin membuat rakyat sangsi terhadap kenyataan-kenyataan kerajaan PN kerajaan yang prihatin nasib rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online