Agong, Raja Permaisuri Ucap Selamat Menyambut Pesta Kaamatan

KUALA LUMPUR, 30 Mei – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bertitah agar perayaan Pesta Kaamatan yang merupakan hari bermakna kepada masyarakat Kadazandusun, disambut dengan kebiasaan baharu yang mengutamakan keselamatan diri, keluarga dan masyarakat.

Istana Negara dalam satu kenyataan yang dipaparkan dalam Facebook rasmi berkata Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan harapan agar perayaan Pesta Kaamatan akan terus menyemarakkan keharmonian antara kaum di Malaysia dan memperkukuhkan perpaduan rakyat di negara ini.

Masyarakat Kadazandusun di Sabah akan menyambut Pesta Kaamatan hari ini dan esok.

“Bersabarlah menghadapi cabaran ini dan marilah bersama memainkan peranan membantu memerangi wabak COVID-19 dengan bersama berdisiplin mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan.

“Kotobian Tadau Tagazo Do Kaamatan. Selamat Menyambut Pesta Kaamatan. Lindungi diri, lindungi semua,” titah Seri Paduka Baginda berdua. – BERNAMA