Tiga Kawasan Perumahan Di Mukim Juasseh, Kuala Pilah Dikenakan PKPD Bermula Isnin

KUALA LUMPUR, 29 Mei – Tiga kawasan perumahan di Mukim Juasseh, Kuala Pilah, Negeri Sembilan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Isnin ini hingga 13 Jun bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kawasan yang terlibat ialah Taman Desa Permai, Rumah Rakyat Juasseh serta Taman Sri Juasseh yang merekodkan pertambahan kes COVID-19 dalam tempoh singkat.

“Sehingga kini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan sebanyak 51 kes positif COVID-19 telah direkodkan iaitu 21 kes di Taman Desa Permai, Rumah Rakyat Juasseh (17) dan Taman Sri Juasseh (13).

“PKPD ini membolehkan KKM mengenal pasti, mengasingkan serta melakukan ujian saringan ke atas kontak rapat sekali gus mengelakkan penularan jangkitan ke luar kawasan.

Turut dikenakan PKPD bagi tempoh sama ialah Felda Sahabat 40 (Kampung Kembara Sakti), Mukim Tungku, Lahad Datu di Sabah yang merekodkan 10 kes positif hasil ujian saringan ke atas 28 penduduk di lokaliti itu.

Ismail Sabri berkata PKPD turut dilaksanakan di Kampung Padawan, Papar, Sabah yang merekodkan sembilan kes positif COVID-19 hasil 238 ujian saringan di lokaliti terbabit dan berkuat kuasa mulai 31 Mei hingga 13 Jun.

Beliau berkata PKPD di Kampung Sungai Langgas, Kunak, Sabah yang dijadualkan tamat esok dilanjutkan hingga 13 Jun kerana kes masih lagi menular di lokaliti itu selain terdapat sampel ujian saringan sedang menunggu keputusan.

Katanya PKPD di Seri Kemunting, Kuantan dan Kampung Paya Teh, Jerantut, Pahang ditamatkan esok susulan berlaku penurunan jangkitan manakala semua kes positif telah diasingkan serta menerima rawatan.

Beliau juga berkata seramai 617 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) dengan 579 daripadanya dikompaun dan 38 lagi direman atas pelbagai kesalahan termasuk tidak memakai pelitup muka. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.