RM2.8 Juta Peruntukan Tambahan Untuk Adun Johor Bantu Tangani COVID-19

JOHOR BAHRU, 28 Mei – Peruntukan tambahan sebanyak RM2.8 juta akan diberikan kepada semua 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Johor, dalam usaha kerajaan negeri menangani pandemik COVID-19 di negeri ini.

Mengakui menguruskan pandemik itu merupakan cabaran yang besar, Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad berkata pandangan serta penglibatan semua pihak, termasuk daripada semua wakil rakyat amat dialu-alukan dalam memastikan kemakmuran negeri ini.

“Saya berharap penglibatan daripada semua Ahli Parlimen dan ADUN Johor dalam program advokasi, dan membantu menguar-uarkan informasi yang tepat dan sahih, berkaitan usaha kerajaan menangani pandemik COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Hasni berkata, dalam mengutamakan kebajikan dan kepentingan rakyat beliau berkata, kerajaan negeri sedang merancang pemberian pakej rangsangan ekonomi 3.0, dengan memperkasakan lagi pelbagai inisiatif dan bantuan kepada golongan yang terkesan.

Bagi memastikan proses vaksinasi dilaksanakan dengan cepat, selamat dan efektif pula, kerajaan negeri turut mengambil beberapa pendekatan, termasuk bekerjasama erat dengan Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan semua pihak berkaitan untuk proses mendapatkan vaksin, termasuk sedang berusaha mendapatkan bekalan vaksin sendiri seperti membeli dari Singapura.

Selain itu, Johor turut berusaha untuk mendapatkan bekalan vaksin di bawah inisiatif ImmuPlan Johor, bagi mendapat bekalan vaksin tambahan sebanyak 100,000 dos, yang dikhususkan kepada petugas barisan hadapan ekonomi negeri Johor.

Dalam masa yang sama, kerajaan negeri turut memperuntukkan sebanyak RM10 juta bagi pemberian bakul makanan.

Terdahulu, Menteri Besar mempengerusikan perbincangan secara maya bersama-sama ADUN dan Ahli Parlimen Johor, berkaitan kebajikan rakyat negeri ini, terutamanya dalam usaha mendepani pandemik COVID-19.

“Perbincangan dan komitmen yang ditampilkan oleh semua wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) turut membuktikan penzahiran politik ‘Cara Johor’, yang amat mementingkan muafakat bagi memastikan konsensus rentas parti politik dapat diarusperdanakan, dalam mendepani pandemik ini.

“Pandangan yang dikemukakan oleh semua Ahli Parlimen dan ADUN yang hadir diambil maklum, serta diteliti untuk dilaksanakan,” kata Hasni lagi.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga ADUN Gambir dan Ahli Parlimen Pagoh, diwakili ADUN Bukit Kepong Datuk Dr Sahruddin Jamal dalam perbincangan secara maya itu.

Ia diadakan susulan titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar baru-baru ini yang mahukan satu mesyuarat diadakan antara ADUN dan Ahli Parlimen Johor bagi menggembleng usaha dalam mendepani masalah yang dihadapi rakyat berikutan COVID-19. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.