Kerajaan Putus ‘Total Lockdown’ Sektor Sosial, Ekonomi 14 Hari Bermula 1 Jun

KUALA LUMPUR, 28 Mei – Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) Mengenai Pengurusan COVID-19 memutuskan untuk melaksanakan penutupan penuh atau total lockdown sektor sosial dan ekonomi fasa pertama di seluruh negara bagi tempoh 14 hari bermula 1 Jun ini.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan berkata sepanjang tempoh berkenaan, semua sektor tidak dibenarkan untuk beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu yang akan disenaraikan MKN.

“Keputusan ini dibuat selepas mengambil kira situasi terkini penularan COVID-19 di Malaysia dengan jumlah kes harian telah melebihi 8,000 kes dan kes aktif melebihi 70,000 kes.

“Setakat hari ini, seramai 2,552 orang telah meninggal dunia akibat wabak ini dan jumlah kematian semakin meningkat. Kewujudan varian-varian baharu yang lebih ganas dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi dan pantas juga turut mempengaruhi keputusan hari ini,” demikian menurut kenyataan itu.

Sidang Khas MKN berkenaan dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin petang tadi.

Kenyataan itu juga menyebut dengan peningkatan kes harian yang menunjukkan trend kenaikan mendadak sejak mutakhir ini, kapasiti hospital di seluruh negara untuk merawat pesakit COVID-19 juga semakin terhad.

Kerajaan juga akan melaksanakan lockdown fasa kedua yang akan membenarkan pembukaan semula beberapa sektor ekonomi yang tidak melibatkan perhimpunan yang besar serta boleh mematuhi penjarakan fizikal, sekiranya fasa pertama berjaya mengurangkan kes harian COVID-19.

Fasa kedua ini akan dilaksanakan untuk tempoh empat minggu selepas fasa pertama berakhir.

“Setelah berakhirnya lockdown fasa kedua, langkah seterusnya ialah memasuki fasa ketiga iaitu melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti yang berkuat kuasa pada masa ini,” menurut Pejabat Perdana Menteri.

Ketika ini PKP dilaksanakan dengan aktiviti sosial tidak dibenarkan dan hampir semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ketat serta kehadiran secara fizikal di tempat kerja yang dihadkan.

Walau bagaimanapun, keputusan untuk beralih dari satu fasa ke fasa yang berikutnya akan tertakluk kepada penilaian risiko berdasarkan perkembangan kes harian semasa dan kapasiti hospital di seluruh negara untuk merawat pesakit COVID-19 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Kerajaan juga akan memastikan sistem kesihatan awam di negara ini tidak akan runtuh dan pelbagai sokongan dan bantuan akan diberikan kepada KKM untuk meningkatkan kapasiti hospital di seluruh negara.

“Kerajaan juga akan meningkatkan jumlah pemberian vaksin dalam tempoh beberapa minggu akan datang dalam usaha untuk menghasilkan imuniti kelompok di negara ini.

Susulan keputusan kerajaan untuk melaksanakan penutupan penuh sektor ekonomi dan sosial, Kementerian Kewangan akan memperincikan pakej bantuan kepada rakyat dan sektor ekonomi yang terkesan.

“Pengumuman mengenai pakej bantuan ini akan dibuat dalam masa terdekat. Semua rakyat dinasihatkan untuk terus berdisiplin dan sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.

“Yang terbaik ialah duduk di rumah atau Stay At Home untuk bersama-sama melandaikan lengkuk jangkitan COVID-19,” menurut kenyataan itu.

Malaysia buat kali pertama sejak pandemik COVID-19 menular di negara ini pada Januari tahun lepas, merekodkan jumlah kes baharu harian tertinggi dengan 8,290 kes hari ini. – BERNAMA