21 Mukim Di Kuala Terengganu Dikenakan PKPD Bermula Ahad

KUALA LUMPUR, 28 Mei – Sebanyak 21 mukim dalam daerah Kuala Terengganu, Terengganu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Ahad ini hingga 12 Jun bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia melibatkan mukim Manir, Bukit Besar, Pengadang Buluh, Belara, Paloh, Kubang Parit, Serada, Rengas, Chendering, Bandar, Chabang Tiga, Kepong, Gelugur Kedai, Kuala Ibai, Atas Tol, Tok Jamal, Losong, Batu Buruk, Pekan Chabang Tiga, Pulau pulau dan Gelugur Raja.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati berlaku peningkatan kes yang amat ketara sepanjang Mei lepas iaitu 349 kes atau 370 peratus bagi tempoh dua minggu di semua lokaliti tersebut.

“Selain itu, 46 kes positif COVID-19 direkodkan hasil saringan bergejala dan ia dikesan di hampir semua mukim dalam daerah Kuala Terengganu.

“Pelaksanaan PKPD itu untuk menyekat pergerakan dan jangkitan COVID-19 dari kawasan berisiko keluar dari lokaliti tersebut,” katanya dalam kenyataan mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.