Pharmaniaga Sedia Tingkat Pengeluaran Vaksin Sinovac Kepada 4 Juta Dos Sebulan

KUALA LUMPUR, 26 Mei – Anak syarikat milik penuh Pharmaniaga, Pharmaniaga LifeScience Sdn Bhd (PLS), bersedia meningkatkan pengeluaran vaksin Sinovac daripada dua juta kepada empat juta dos sebulan bagi membantu kerajaan mempercepat program vaksinasi dan mencapai imuniti kelompok.

Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga Berhad Datuk Zulkarnain Md Eusope berkata Pharmaniaga kini menunggu kelulusan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan China (CFDA) untuk mengeluarkan vaksin dua dos sebotol sebelum mengemukakannya kepada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

“Kapasiti pengeluaran dijangka meningkat kepada empat juta dos sebulan jika permohonan untuk mengeluarkan vaksin dua dos sebotol diluluskan. Kami menjangkakan penilaian akan mengambil masa kira-kira dua hingga tiga minggu selepas ia dikemukakan kepada NPRA, yang akan disusuli dengan satu lagi ujian kestabilan untuk vaksin dua dos sebotol.

“Semua syarat ini adalah amalan standard dalam industri vaksin bagi memastikan ia selamat sebelum diedarkan kepada orang ramai,” katanya dalam sidang akhbar yang berlangsung secara hibrid di sini hari ini.

Beliau berkata setakat 23 Mei lepas, kilang berteknologi tinggi PLS telah menyiapkan pengeluaran vaksin COVID-19 jenis Sinovac secara ‘fill and finish’ sebanyak 1,889,800 dos.

Zulkarnain berkata daripada jumlah tersebut, kilang yang menerima pengiktirafan Kesatuan Eropah itu telah menyerahkan sebanyak 290,480 dos kepada Kementerian Kesihatan pada 11 Mei lepas, yang merupakan sebahagian daripada 200 liter vaksin pukal yang diterima pada Februari untuk pengesahan proses.

“Sejumlah 320,000 dos kini menunggu kelulusan NPRA sebelum diedar untuk kegunaan rakyat. Sejumlah 319,320 dos dalam proses penghantaran manakala baki 960,000 dos menjalani 12 ujian kawalan kualiti sebelum proses Lot Release bagi kelulusan NPRA yang dijangka selesai menjelang akhir bulan ini,” katanya.

Beliau berkata kilang itu juga dijangka mengeluarkan sejumlah 720,000 dos vaksin secara ‘fill and finish’ yang prosesnya telah dimulakan pada Ahad lepas dan dijangka selesai pada 31 Mei 2021 sebelum menjalani 12 ujian kawalan kualiti.

PLS berharap untuk mengeluarkan dua juta dos lagi vaksin Sinovac secara ‘fill and finish’ pada Jun dan menerima tiga juta dos dari China, menjadikan jumlah keseluruhan bagi bulan itu dijangka mencecah lima juta dos.

Katanya syarikat itu juga sedang menunggu kelulusan CFDA untuk mengeluarkan vaksin COVID-19 jenis Sinovac untuk kanak-kanak berusia tiga hingga 17 tahun dan berharap ia boleh dilaksanakan pada suku ketiga atau keempat tahun ini, tertakluk kepada kelulusan.

Zulkarnain juga berkata PLS adalah pengedar tunggal Sinovac di Malaysia dan semua pihak perlu melalui syarikat itu jika mereka berhasrat untuk menyumbangkan vaksin tersebut. – BERNAMA