Tengku Hassanal Sumbang Elaun Diraja Ke Tabung COVID-19 Pahang

KUANTAN, 24 Mei – Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan Elaun Diraja selama empat bulan kepada Tabung COVID-19 Pahang bagi membantu mereka yang memerlukan.

Perkara berkenaan dikongsikan oleh Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di laman media sosial rasmi beliau hari ini, yang turut menjunjung kasih atas keprihatinan baginda terhadap rakyat Pahang.

“Patik dan rakyat jelata menyanjung tinggi kurniaan ini yang akan digunakan sewajarnya demi menangani apa juga kemaslahatan berkaitan wabak COVID-19,” katanya.

Kurniaan hari ini, dilakukan sehari selepas Tengku Hassanal berkenan mengurniakan Elaun Diraja selama tiga bulan ke Tabung Pahang4Palestine bagi membantu penduduk di sana yang dizalimi rejim zionis Israel.

Selain itu, kurniaan kepada Tabung COVID-19 Pahang juga adalah kurniaan kali kedua oleh Tengku Hassanal yang sebelum ini berkenan mengurniakan Elaun Diraja selama enam bulan ke tabung berkenaan pada 1 April tahun lepas.

Tabung COVID-19 Pahang dilancarkan oleh kerajaan negeri pada awal pelaksanaan PKP1.0 khusus untuk membantu rakyat negeri ini terkesan dengan pelaksanaan perintah tersebut yang perlu dilakukan bagi memutuskan penularan wabak itu. – BERNAMA