Hargai Pengorbanan Anggota Keselamatan, MB Perak Tampil Hulur Bantuan

IPOH, 24 Mei – Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad hari ini mengumumkan penyaluran bantuan pelindung muka dan kelengkapan kebersihan kepada lebih 5 ribu anggota keselamatan yang bertugas sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di negeri Perak.

Pejabat Menteri Besar dalam satu kenyataan berkata pengumuman itu dibuat dalam pertemuan Saarani bersama pegawai tertinggi pasukan keselamatan yang diadakan secara maya di pejabatnya hari ini.

Dalam pertemuan yang berlangsung kira-kira 30 minit itu, Saarani juga diberikan taklimat ringkas mengenai situasi terkini pelaksanaan PKPD oleh jabatan yang berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan itu turut menzahirkan penghargaan atas pengorbanan dan semangat setiap warga pasukan keselamatan dalam memikul amanah dan menjadi sandaran masyarakat untuk membendung penularan COVID-19.

“Kerajaan negeri memandang berat keperluan supaya setiap anggota yang bertugas sepanjang PKPD ini mendapat perlindungan secukupnya termasuk dibekalkan pelindung muka dan kelengkapan kebersihan.

“Kerajaan negeri juga yakin terhadap kesungguhan kerjasama penuh seluruh pegawai dan anggota keselamatan dalam mencapai matlamat memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 yang menampakkan trend membimbangkan kebelakangan ini,” kata Saarani yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak.

Antara yang menyertai pertemuan itu adalah Ketua Polis Perak Datuk Pahlawan Mior Faridalathrash Wahid, Pengarah Majlis Keselamatan negeri Khairul Riduzan Mat Said, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam negeri Noor Azam Johari dan Pengarah RELA negeri Kamarul Idzham Kamal. – UMNO ONLINE